Banjir: Pakaian Sudah Bertimbun, Dapur Gas Lebih Diperlukan - Syahril A. Kadir (Sukarelawan)


Alhamdulillah, rakyat Malaysia sememangnya terbukti sangat prihatin dan sedia membantu antara satu sama lain khususnya apabila berhadapan dengan suasana bencana atau banjir sebagaimana yang sedang berlaku di kebanyakan negeri di Pantai Timur, terutama Kelantan.

Menurut seorang rakan sukarelawan, Syahril A. Kadir, yang hadir membantu bersama kumpulannya dari Damansara Prima, Petaling Jaya, sumbangan dalam bentuk pakaian sudah bertimbun-timbun banyaknya hingga menimbulkan seolah sedikit rasa kecewa di raut wajah mangsa.

Katanya, orang ramai yang berhasrat mahu menyumbang pakaian diharap agar lebih mengutamakan pakaian dalam untuk mangsa-mangsa banjir, khususnya bagi golongan wanita yang dilihat seolah mengharapkan bantuan seumpama itu.

"Aku tengok ramai mangsa banjir yang raut wajah mereka seperti sedikit kecewa apabila buka saja kotak, yang mereka dok dapat adalah stok pakaian. Namun yelah, takkan diaorang nak merungut pulak kan, orang dah bagi. 

"Bagi aku kalau nak bagi pakaian pun, better fokus pada bra dan panties. Ramai akak2 kita yang bertanya pasal benda tu...kesian malu-malu mereka...tapi kita faham. Apapun janganlah bagi yg terpakai dahlah," katanya.

Namun pada penelitian Syahril, barangan paling mendesak yang sangat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir ialah dapur memasak.


Menurutnya, kadangkala mangsa menerima bantuan berkampit-kampit beras namun mereka tidak dapat memasak sebaik mungkin ekoran peralatan memasak milik mereka yang rosak akibat banjir.

Justeru itu Syahril berpandangan bahawa adalah lebih baik untuk orang ramai menderma dapur dan tong gas untuk kegunaan mangsa banjir di sana.

"Actually kalau korang tanya aku secara peribadi, antara keperluan yang cukup mendesak adalah DAPUR sebenarnya. 

"Kebanyakan rumah mangsa rosak teruk, peralatan jangan ceritalah. Adakalanya aku tengok seseorang mangsa tu boleh dapat berkampit-kampit beras tapi tak banyak yang dapat dilakukan kerana tiada peralatan untuk memasak," ujarnya lagi.


Selain itu, Syahril turut menyarankan supaya dibekalkan gula-gula atau biskut bagi kanak-kanak yang berada di pusat-pusat pemindahan banjir di sana.

"Last but not least, belilah coklat atau biskut banyak-banyak untuk kita beri pada kanak-kanak. Mereka ni sering datang kalau nampak kehadiran sukarelawan. Nama pun budak-budak, ramai mereka berdiri di bahu jalan bila melihat konvoi bantuan lalu. 

"Jadi bayangkan betapa gembiranya mereka kalau kita boleh bagi coklat atau biskut untuk mereka makan. So cubalah yea!," katanya yang difahamkan masih berada di pusat pemindahan banjir di sekitar negeri Kelantan. -Kedahnews.com