BUTTERWORTH – Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah
Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mendera anaknya berusia
tujuh tahun di Sungai Dua, dekat sini.
Mohd Shaikful Adli Mohd Afendi, 34, didakwa menganiaya dan
mendedahkan kanak-kanak di bawah jagaannya itu kepada kecederaan fizikal
dan emosi di sebuah rumah di Sungai Dua, Seberang Perai Utara pada
pukul 7.23 malam, 15 Jan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang
membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun
atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fairuz Rahman memohon
mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas alasan kes
itu adalah serius, selain kekerapan kes penderaan kanak-kanak sejak
kebelakangan ini.
“Saya memohon tertuduh tidak boleh dijamin kerana mangsa juga adalah
anak kepada tertuduh dan ada kemungkinan tertuduh akan mengganggu mangsa
dan saksi pendakwaan,” katanya.
Peguam yang mewakili Mohd Shaikful Adli, Saiful Ambar Abdullah Ambar
kemudian memohon mahkamah membenarkan jaminan kepada anak guamnya
berdasarkan kes Lolanopita Sadi, ibu remaja Orang Kurang Upaya, Muhammad
Firdaus Dullah, yang berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Kanak-kanak
2001, yang dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah.
Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab kemudian membenarkan Mohd
Shaikful Adli diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta
syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi
pendakwaan sepanjang perbicaraan, jika gagal, jaminan akan ditarik
balik.
Muhammad Firdaus turut menetapkan 25 Feb depan untuk sebutan semula kes.
Kanak-kanak berkenaan yang merupakan murid Tahun Satu ditemui dalam
keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak
mempunyai bekalan air dan elektrik pada Khamis lepas (15 Jan).
Kanak-kanak itu masih dirawat di Hospital Seberang Jaya. – BERNAMA