Berjaya "Kantoi" Cubaan Seludup Kereta Mewah, Syabas UPP Bukit Kayu Hitam!


BUKIT KAYU HITAM - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar sebuah kereta curi jenis Mercedes Benz CLA 200 dalam satu sekatan jalan raya di KM 1.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke Thailand malam tadi.

Komander UPP Kedah Abd Latif Abd Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 30-an berasal dari George Town yang mengambil upah untuk membawa kereta tersebut ke sebuah hotel di Danok, Thailand.

Hasil siasatan, katanya, mendapati suspek mengambil kereta mewah bernilai RM500,000 itu daripada seorang rakan di Changlun pada 7.30 malam tadi untuk diseludup keluar ke negara jiran dan dibayar upah sebanyak RM300.

Katanya hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta mewah berwarna kelabu dan bernombor pendaftaran palsu itu dilaporkan hilang pada 8 Jan lepas di Puchong, katanya.

"Suspek menunjukkan kad penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang palsu kepada pihak UPP sebagai cara untuk melepaskan diri dari sekatan tersebut," kata Abd Latiff pada sidang media di Kompleks UPP Bukit Kayu Hitam hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek sebelum ini telah membawa lebih 50 buah kenderaan mewah yang dicuri di sekitar Lembah Klang untuk diseludup keluar ke negara jiran sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata kereta mewah dan suspek itu telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Abd Latif berkata sepanjang tahun lepas pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup sembilan buah kereta mewah dan sebuah motosikal berkuasa tinggi bernilai RM1.1 juta. - Bernama