Biadap: Bukan Vincent Leong Seorang Saja....


Baru-baru ini kesabaran rakyat Malaysia diuji lagi dengan kontroversi lukisan-lukisan yang disifatkan biadap, tidak sopan, kurang ajar dan mencemar imej institusi Raja-Raja Melayu di negara berdaulat ini.

Pelukis dari Malaysia, Vincent Leong, dilapor telah menimbulkan kontroversi apabila mempamerkan potret gambar yang menunjukkan sisi belakang Yang DiPertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong dalam satu pameran di Singapura pada bulan lalu.

Selain itu, turut dilukis adalah potret yang digambarkan sebagai Perdana Menteri yang juga turut dipamerkan dari sisi belakang.

Kononnya lukisan-lukisan tersebut adalah merupakan "interpretasi seni" dari Vincent, seorang warganegara dan "anak" Malaysia dengan meletakkan tajuk lukisan-lukisan tersebut sebagai "Kenapamu Malaysia".

Pada pandangan Kedahnews.com, sikap seperti itu tidak hanya dimiliki Vincent seorang sahaja. Sebelum ini pun pernah berlaku insiden sebegitu dan kami yakin diluar sana masih ramai lagi yang sama "spesis" sepertinya.

Biarpun pernah diambil tindakan pada kes-kes sebelum ini, ia seolah tidak memberi sebarang kesan pada golongan biadap itu dan ia semakin menjadi-jadi lewat akhir-akhir ini.

Kedahnews.com tertanya-tanya, tidak ada ilham dan idea lainkah untuk dilukis Vincent sehingga tergamak untuk menjadikan Yang DiPertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong sebagai subjek untuk diperlekeh sebegitu?

Sekiranya ada pelukis yang sengaja melukis gambar ibu bapa Vincent dalam keadaan yang memalukan, biadap dan kurang ajar, apakah Vincent suka?

Ramai yang bertanyakan tentang motif sebenar Vincent melukis gambar-gambar berkenaan dan mempamerkan usaha "seni"nya itu di Singapura, serta tidak memilih Malaysia sebagai lokasi pameran.

Pada Kedahnews.com, soalan-soalan sebegitu tidak perlu dijawab dan kami positif ramai yang dapat mengagak tujuan sebenar Vincent serta lukisannya itu.

Namun kalau Vincent jawab, kami yakin dia akan "spin" seboleh-bolehnya, kononnya memberikan gambaran yang baik-baik belaka tentang lukisan Yang DiPertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri itu.

Kedahnews.com tertanya-tanya, apakah Vincent berani untuk melukis gambar Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej sebagaimana yang lukisan Yang DiPertuan Agong itu, beranikah dia?

Jika berani, cubalah lukis. Namun jika tidak berani, sila nyatakan sebab untuk tidak berbuat demikian.

Sekiranya Vincent berani melukis lukisan Raja Bhumibol Adulyadej sebegitu rupa, kami yakin dia takkan dapat hidup selesa selepas ini jika ada pihak dari negara Gajah Putih itu yang akan mengamuk terhadapnya.

Namun jika dia tidak berani melukis lukisan Raja Bhumibol Adulyadej, mengapa Vincent berani pula lukis gambar Yang DiPertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri itu?

Apakah dia lebih mendaulat dan mencurahkan taat setianya pada Raja Thailand berbanding Yang DiPertuan Agong di negaranya sendiri?

Namun kami yakin, Vincent mungkin bukan keseorangan dalam hal bersikap kurang ajar dan biadap terhadap negara sendiri. Di luar sana, ramai lagi yang sikapnya sama, malah lebih buruk dari Vincent.

Hendak dibelasah, dipukul dan dipijak-pijak, tindakan itu menyalahi undang-undang dan tidak wajar. Hendak didakwa di mahkamah dibawah akta Hasutan 1948, ramai pula yang mahu akta berkenaan dimansuhkan.

Hendak dilaporkan pada polis, ditangkap dan dihukum penjara, nanti timbul pula kontroversi kononnya kerajaan "zalim" dan "tidak berhati perut", malah nanti lebih ramai lagi pula yang timbul menghina Yang DiPertuan Agong.

Atau kerajaan perlu "timang" Vincent, membentang karpet merah, menyambutnya pulang ke tanahair dengan paluan kompang dan tarian singa, serta melayannya bagaikan VVIP yang bertaraf 10 bintang?

Agaknya, apa yang patut dilakukan kepada mereka? Soalnya, sampai bila perlu dibiarkan mereka berlaku biadap, kurang ajar dan mengundang kemarahan rakyat Malaysia yang sebenar? -Kedahnews.com