Bijak Menghadapi Ujian Allah Dengan Cara Islam


BERMULA dengan kemarau panjang, catuan air, jerebu, kehilangan MH 370, kezaliman manusia terhadap MH 17, kebocoran soalan UPSR, kejatuhan pesawat Air Asia QZ 8501 dan banjir luar biasa di Kelantan, tahun 2014 boleh dinobat sebagai tahun duka bencana bagi Malaysia.

Semua bencana tersebut meninggalkan parut luka yang sungguh dalam pada hati rakyat Malaysia. Musibah dan ujian yang meliputi dalam berbagai rasa seperti sakit, rugi, gagal, susah serta kecewa adalah rencah rasa hidup yang tidak mungkin dihapuskan dari takdir hidup manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: 
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah[2:155-156]).
Tahukah anda bahawa musibah sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu musibah dunia dan musibah agama. Rata-ratanya manusia berduka ketika ditimpa musibah dunia seperti musibah tahun 2014 yang melanda negara, namun sedikit yang risaukan musibah agama yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Lihat sahaja bagaimana nabi Yusuf AS risaukan agamanya terancam dengan musibah zina. Baginda lebih rela ditimpa musibah dunia dengan dipenjarakan serta hilang kebebasan berbanding ditimpa musibah agama serta mengingkari perintah Allah SWT maksudnya: 
(Isteri Aziz Mesir atau Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”Yusud (merayu ke hadrat Allah SWT dengan) berkata; Wahai tuanku, aku lebih rela kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya“(Yusuf: 32-33).
Elak musibah agama

Pun begitu, musibah dunia yang tidak diuruskan dengan iman dan taqwa boleh juga menjadi musibah agama. Ada segelintir manusia yang rapuh imannya kepada qada dan qadar Allah menyalahkan Allah kerana menguji mereka dengan perbagai ujian. Oleh itu, umat Islam wajib tahu teknik menguruskan musibah, antaranya:

1) Sabar terutamanya pada awal musibah. Rasulullah SAW pernah melewati di sebelah seorang wanita yang menangis di sebuah kubur. Baginda berkata kepadanya, 
“Takutlah kepada Allah dan bersabarlah.” Wanita itu berkata, “Engkau tidak rasa musibah yang aku alami.” Ketika Rasulullah SAW berlalu dari situ ada sahabat berkata kepada wanita itu bahawa orang yang menasihati tadi adalah Rasulullah SAW. Alangkah terkejutnya wanita itu, dia segera pergi ke rumah Rasulullah SAW dan berdiri dipintunya. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, tadi aku tidak mengenalmu.” Rasulullah SAW bersabda, “Sabar itu di awal musibah.” (Sahih al-Bukhari).
2) Faham dan yakin musibah yang melanda mampu kita tanggung. Firman Allah SWT bermaksud: 
Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan (al-Talaq:7]).
3) Reda dengan musibah dan ujian. Tanpa reda, manusia tidak akan dapat meneruskan hidup dengan normal kerana akan berterusan menyalahkan takdir. Firman Allah ertinya: 
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah (al-Hadid:22]).
4) Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT sebelum datangnya musibah jauh lebih banyak. Firman Allah bermaksud: 
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya (Ibrahim:34).
5) Sentiasa positif menerima musibah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 
Menakjubkan sekali urusan orang beriman. Semua urusannya membawa kepada kebaikan dan ia tidak akan berlaku kecuali kepada orang beriman sahaja. Sekiranya dia beroleh kesenangan dia akan bersyukur, dan syukur itu baik untuk dirinya. Sekiranya dia beroleh kesusahan dia akan sabar, dan sabar itu juga baik untuk dirinya (Sahih Muslim).
6) Memahami pasti ada hikmah di sebalik musibah. Firman Allah SWT bermaksud: 
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah:216).
7) Tidak berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar musibah diganti bahagia. Setelah kematiannya suaminya, Abu Salamah, Ummu Salamah senantiasa berdoa dengan doa yang diajar Rasulullah SAW bermaksud: 
“Sesungguhnya kami ini milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali padaNya. Ya Allah! Berikan ganjaran padaku dalam musibah yang menimpaku ini, dan gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik.” Allah kemudiannya menggantikan kehilangan suaminya itu dengan suami terbaik iaitu Rasulullah SAW sendiri yang meminangnya (Sahih Muslim).
Hidup adalah pentas ujian bagi Allah menilai iman manusia. Hadaplah ujian yang menimpa dengan hati terbuka kerana kejayaan menangani musibah dan ujian akan menjadi sebab kebahagiaan kita di akhirat kelak. Kebahagiaan itu pastinya dicemburui oleh orang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 
“Pada hari kiamat kelak, apabila orang yang sihat melihat orang yang banyak diuji (semasa di dunia dan bersabar atas ujian tersebut) mendapat pahala yang banyak, (maka orang yang sihat) sangat berharap agar kulit mereka dikoyak dengan gunting semasa di dunia dahulu.” (Sunan al-Tirmidhi).

Sumber: Utusan