Kumpulan Caliph Buskers yang cacat penglihatan akan terus menjadi pemuzik jalanan biarpun nama mereka melonjak popular selepas memenangi Persembahan Terbaik dalam AJL 29 Ahad lalu.
Ketua kumpulannya iaitu Khairul Azmi Saat atau Azmi, 28, berkata, dia
tidak mahu menggunakan alasan kerana kejayaan itu untuk meninggalkan
rutin harian berkenaan sebaliknya berpegang kepada cinta mendalam
terhadap bidang muzik jalanan.
“Tiada sebarang sebab untuk tinggalkan persembahan ‘basking’ dan kami
akan teruskan aktiviti macam biasa kerana muzik adalah jiwa kami.
“Malah kami berharap bakat yang ada dapat dikongsi dengan orang lain
dan cuma berharap masyarakat akan terus memberi sokongan kepada pemuzik
seperti kami,” katanya kepada mStar Online.
Persembahan bertenaga Caliph Buskers bersama Mojo pada malam kemuncak
AJL 29 menerusi lagu Romancinta telah membawa tuah apabila mereka
dipilih sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik.
Selain Azmi, Caliph Buskers turut dianggotai oleh Fendy Alun, 24;
Mohd. Zaki Ismail, 36; Nirwan Zainal Abidin, 26; Nor Nadira Rubiana, 24;
dan Syahzmeen Abdul Rahman, 24.
Persembahan mereka yang cacat penglihatan mendapat sambutan di luar
jangkaan apabila kebanyakan penonton memuji persembahan berkenaan yang
dianggap hebat dan luar biasa.
Mereka sering kali mengadakan persembahan di kaki lima Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.
Dalam pada itu, Azmi teruja dengan pelawaan Edry Abdul Halim mewakili
syarikat rakaman KRU Music yang ingin menghasilkan single pertama
mereka selepas ini.
Jelas Azmi, mereka berenam sudah lama berhasrat untuk merakamkan lagu
sendiri dan dia menyifatkan peluang itu seperti mimpi menjadi
kenyataan.
“Langsung tidak sangka Edry sudi menghasilkan sebuah lagu untuk kami
dan Insya-Allah peluang dan kepercayaan itu akan digunakan
sebaik-baiknya,” ujarnya.
Bercerita mengenai pengalaman mengadakan persembahan di pentas AJL
29, Azmi berkata, pada awalnya mereka tidak percaya apabila Edry meminta
menyampaikan lagu Romancinta kerana dia bukan seorang penyanyi
profesional.
Kata Azmi, perasaan gemuruh ketika mengadakan persembahan cukup
menebal dalam dirinya namun sokongan daripada penonton menaikkan
semangatnya dan ahli kumpulan lain.
“Saya tidak pernah terfikir untuk membuat persembahan di pentas AJL
malah ketika Edry membuat pelawaan itu saya tidak percaya dan menganggap
ia gurauan.
“Ini kerana saya bukan seorang penyanyi profesional dan rasanya tidak
layak untuk berada di pentas berprestij itu. Ia pengalaman luar biasa,”
katanya yang pernah bertugas sebagai tukang urut di Hospital Tun
Hussein Onn dekat sini sebelum ini.
Sementara itu, Edry ketika ditemui berkata, beberapa kejadian
melibatkan Mojo sebelum ini meninggalkan hikmah cukup besar kepada
mereka semua dan menganggap kemenangan itu sebagai rezeki daripada
Allah.
Malah kata Edry, penampilan Caliph Busker adalah pendedahan yang
cukup baik kerana tidak ramai mengetahui mengenai bakat luar biasa
dimiliki kumpulan itu.
“Sebelum meminta mereka menyanyikan lagu itu saya sendiri pergi
menonton persembahan mereka di Jalan Tunku Abdul Rahman dan lihat mereka
mempunyai bakat cukup besar.
“Alhamdulillah kemunculan mereka diterima cukup baik dan ini baharu
satu permulaan buat mereka dan Insya-Allah ada perkara baik lain akan
menyusul,” katanya. – mStar