Nampaknya masih ada lagi beberapa individu yang suka "bermain api" dan sanggup menanggung risiko diburu pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa gara-gara menyebarkan berita palsu.
Tersebar sejak malam semalam potongan "print screen" di laman-laman sosial di seluruh negara yang mendakwa kononnya Mursyidul Am PAS, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Lebih dramatik lagi, penipu-penipu itu sanggup menggunakan nama Nik Muhammad Abduh Nik Aziz, kononnya mereka menerima pesanan menerusi aplikasi Whatapps dari anak Mursyidul Am PAS itu.
Pada Kedahnews.com, perkara seperti itu sangat menjengkelkan.
Apatah lagi Nik Muhammad Abduh baru saja sejam tadi memuat naik status menjelaskan perkembangan kesihatan positif bapanya terhadap rawatan yang diterima di hospital berkenaan.
Malah menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Nik Abdul Aziz masih gagah bersolat subuh, menghirup teh O, bertanya khabar dan sempat melemparkan senyuman manis lagi.
Melegakan, perkembangan positif tokoh PAS Kelantan itu turut mengembirakan doktor yang merawatnya.
Justeru itu, di mana kesahihan sebaran cerita yang mengatakan Nik Abdul Aziz sudah meninggal dunia?
Kes ini sebetulnya pernah berlaku kepada Al-Marhum Sultan Azlan Shah tahun lalu apabila baginda turut menjadi mangsa "wayang" di laman-laman sosial dan diberitakan kononnya telah mangkat lebih dari 7 kali dalam tempoh 2 hari sedangkan baginda masih hidup ketika itu. - Kedahnews.com