Charlie Hebdo Edisi Khas Caci Rasulullah SAW Dicetak 3 Juta Naskhah


PARIS – Teruja selepas memperoleh lebih lima juta sokongan dari seluruh dunia menerusi laman Twitter bertajuk #Je Suis Charlie, penerbit akhbar mingguan kontroversi Perancis, Charlie Hebdo itu tampaknya lebih bersemangat menghina agama Islam.

Terbaharu agensi berita antarabangsa AFP melaporkan pihak pengurusan Charlie Hebdo dijangka mencetak tiga juta naskhah edisi khas pasca insiden serangan berdarah untuk keluaran 15 Januari ini, berbanding kebiasaan cuma kira-kira 60,000 naskhah.

Akhbar satira biadap berpusat di Paris itu bakal meletakkan pada muka hadapan edisi istimewa tersebut paparan karikatur kononnya Nabi Muhammad SAW sedang memegang kad dengan ayat bertulis ‘Je suis Charlie’ atau bermaksud ‘Saya ialah Charlie’.

Petugas Charlie Hebdo sibuk menyiapkan keluaran khas akhbar itu pada 15 Januari 2015 yang memaparkan Nabi Muhammad SAW turut menyokong prinsip kebebasan bersuara mingguan satira popular tersebut. – Gambar hiasan
Ayat itu merujuk kepada kempen agresif anjuran beberapa organisasi media antarabangsa sebagai tanda simpati kepada tragedi pada 7 Januari lalu yang mengorbankan 10 petugas Charlie Hebdo termasuk ketua pengarangnya, Stephane Charbonnier.

Turut terbunuh ialah dua anggota polis Perancis manakala 11 orang lagi cedera apabila dua rakyat tempatan menyerang nekad pejabat akhbar tersebut di Rue Serpollet di sini sebelum kedua-dua suspek berjaya ditembak mati beberapa hari kemudian.

Untuk keluaran terkini pada Rabu ini, ketua editor baharu, Gerard Biard dibantu oleh enam wartawan yang juga kartunis iaitu Catherine Meurisse, Patrick Pelloux, Antonio Fischetti, Renald Luzier, Willem Babouse dan Zineb El Rhazoui.

Ketua editor baharu Charlie Hebdo, Gerard Biard (kiri) menggantikan Stephane Charbonnier yang terbunuh semasa serangan pengganas Islam pada 7 Januari 2015 dalam mempertahankan dasar akhbar satira terus menghina agama Islam. – Gambar hiasan
Charlie Hebdo edisi khas 15 Januari ini akan guna tajuk ‘Le choix de Mohammed’ bermaksud ‘Pilihan Muhammad’ kononnya Rasulullah SAW juga memilih akhbar mingguan itu yang memperjuangkan kebebasan bersuara atas nama hak asasi manusia.

Meskipun dikecam masyarakat Islam seluruh dunia, akhbar pelampau haluan kiri yang diterbitkan sejak 1970 itu mendapat geran €1 juta (RM4.2 juta) daripada kerajaan Perancis ekoran serangan bersenjata paling tragik dalam sejarah negara tersebut.

Turut memberi sumbangan ialah Yayasan Akhbar Inovasi Digital Google sebanyak €250,000 (RM1.05 juta) Yayasan Pluralisme Akhbar Perancis juga €250,000 dan Kumpulan Media The Guardian Britain sejumlah £100,000 (RM536,245). – Agensi