Cinta Yang Tiada Batasnya...


TIDAK setitikpun wuduk Rasulullah SAW akan jatuh ke tanah, melainkan para sahabat berebut-rebut menadahnya untuk disapu ke muka,” kata Syed Muhammad Fadzli Syed Ahmad. 

Gambaran tersebut diberikan oleh pengasas Madrasah al-Yamani, Kampung Baru itu sebagai menjelaskan bagaimana para sahabat menzahirkan kecintaan dan rasa kasih mereka kepada Rasulullah.

Katanya, semua itu bukan perkara baharu, malah diriwayatkan sejak hayat Rasulullah SAW golongan sahabat telah melakukan pelbagai cara demi menzahirkan kecintaan dan rasa kasih yang mendalam terhadap baginda.

Perkara yang dilakukan para sahabat itu katanya, dilihat lebih keterlaluan, tetapi dibiarkan oleh baginda. Ini ternyata berbeza berbanding pelbagai penganjuran majlis untuk memperingati Rasulullah SAW seperti qasidah, sambutan Maulidur Rasul dan fenomena terbaharu Selawat Perdana.

Justeru, tambahnya, segala tohmahan yang mendakwa tradisi yang dilakukan di negara ini itu tidak menepati ajaran agama Islam dan menunjukkan taksub kepada manusia adalah tidak berasas sama sekali.

“Menghayun kepala sambil menggoncangkan badan ketika berselawat atau berqasidah tidak menjadi kesalahan selagi tidak keterlaluan hingga kelihatan seperti menari.

Malah, jika itu dapat memberi kekhusyukan dan mendatangkan perasaan gembira dalam mengingati Rasulullah SAW maka diharuskan.

“Tidak disifatkan sebagai melampau atau taksub kerana mengagungkan manusia. Ini bukan bermakna kita ingin meninggi-tinggikan Rasulullah, sebaliknya darjat baginda memang sudah terlalu tinggi ditempatkan oleh Allah SWT.

“Sedangkan Allah SWT juga berselawat sebagaimana firman Allah SWT bermaksud; Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya (al-Ahzab : 56), mengapa tidak kita,” katanya.

Selain bagi melahirkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW menerusi pelbagai penganjuran, program memperingati dan menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW juga dilihat dapat memberi kesedaran kepada masyarakat sekali gus mengurangkan pelbagai gejala sosial.

Muhammad Fadzli berkata, walaupun terdapat segelintir pihak yang menolak, tetapi perkara itu perlu dilihat daripada sudut positif tanpa membawa unsur-unsur fahaman lain.

“Setakat ini tidak pernah pula kita dengar ketika anjuran itu menyebabkan berlaku rusuhan atau sebarang bahaya. Sebaliknya inilah salah satu medium untuk menyatupadukan umat Islam tidak kira bangsa, budaya dan fahaman.

“Golongan ini bersandarkan kepada potongan hadis Rasulullah SAW bermaksud; ‘setiap bidaah (perkara baharu) adalah sesat’ tanpa mentafsirkan hadis tersebut dengan betul.

“Perkataan ‘setiap’ itu memang membawa makna umum, tetapi tidak boleh menyamakan semuanya kerana ulama telah mengkategorikan bidaah itu kepada empat, iaitu harus, sunat, wajib dan haram.

“Oleh itu, setiap yang tidak bercanggah dengan agama tidak boleh dikategorikan sebagai sesat,” jelasnya.

Beliau berkata, bukan suatu yang baharu malah, sahabat terdekat Rasulullah SAW, Saidina Umar al-Khatab ketika pemerintahannya juga ada melakukan pembaharuan dalam ibadah dan memuji perbuatan itu.

“Saidina Umar melakukan solat tarawih secara berjemaah dalam kelompok yang besar pada zaman pemerintahannya.

“Sedangkan perkara itu yang tidak dilakukan oleh khalifah yang lain termasuk pada zaman pemerintahan Rasulullah SAW.

“Adakah kita ingin katakan Khalifah kedua Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW itu sebagai sesat? Sedangkan kefahaman beliau pastinya lebih alim kerana rapat dengan Rasulullah SAW ketika hayatnya,” katanya. -Utusan