"DAP Bagai Musuh Politik PAS, Bukan Rakan Sekutu Pakatan Rakyat" - Anthony Loke


DAP menganggap tindakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang mencabar Lim Guan Eng sebagai "membakar jambatan", sekaligus menjadikan DAP sebagai musuh utama dan bukan rakan sekutu lagi.

Memetik Malaysian Insider, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, tindakan Mustafa itu juga seolah merupakan satu strategi awal dari PAS untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat dari dalam.

"Pendekatan yang diambil Mustafa untuk mencabar setiausaha agung DAP berdebat seolah-olah ingin 'membakar jambatan' dengan DAP dan menganggap DAP sebagai musuh politik PAS dan bukannya rakan sekutu dalam PR.

"Adakah ini taktik permulaan untuk memecahkan PR dari dalam? Adakah cabaran beliau mewakili pendirian rasmi PAS?" kata Loke, mempertikai Mustafa yang menghentam Setiausaha Agung DAP dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, Anthony seolah menyindir sinis Setiausaha Agung PAS itu dengan menyarankannya supaya "menasihati" dan memastikan pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menghadiri Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat bagi membincangkan isu-isu tersebut daripada debat terbuka.

Guan Eng sebelum ini secara terbuka mendakwa telah memaklumkan PAS tentang cadangannya melaksanakan pilihanraya PBT dan mendakwa parti tersebut bersetuju dengan cadangan tersebut.

PAS menolak keras cadangan pilihanraya PBT itu dan Mustafa membalas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan mengatakan kenyataan tersebut adalah bohong dan tidak benar.

Mustafa mengaku Guan Eng ada menghubunginya melalui telefon memaklumkan tentang cadangan pilihanraya PBT itu, namun ia dilakukan setelah Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang membentang cadangan tersebut.

Katanya lagi, PAS tidak pernah menyatakan persetujuan terhadap cadangan Setiausaha Agung DAP itu dan makluman yang diberi selepas cadangan itu dibentang di sidang DUN Pulau Pinang tidak membawa sebarang makna pada PAS.

Justeru itu, Mustafa mencabar Guan Eng untuk berdebat secara terbuka ekoran tindakan para pemimpin DAP yang menghentam PAS secara terbuka selain mahu pelbagai pihak menyaksikan kebenaran sebenar berhubung isu tersebut.  -Kedahnews.com