DAP Sokong Cadangan Larang Rotan Anak


KUALA LUMPUR – Parti DAP menyambut baik cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjadikan perlakuan ibu bapa yang merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah. 

Setiausaha Wanita DAP, Teo Nie Ching yang mengulas mengenai cadangan itu memberitahu bahawa ia adalah selari dengan larangan yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC). 

"Wanita DAP sedar kejadian penderaan kanak-kanak semakin meningkat. Pada tahun 2010 terdapat 3,257 kes dilaporkan meningkat kepada 3,428, 3,821 dan 4,119 kes masing masing pada tahun 2011, 2012 dan 2013. 

"Pada bulan Januari hingga April 2014 sahaja terdapat 1,430 kes dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan media lewat semalam.

Nie Ching dalam kenyataan itu juga mahu kerajaan memastikan penguatkuasaan undang-undang itu sekiranya dilaksanakan, akan dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan akta berkenaan efisien untuk menangani isu penderaan kanak-kanak di Malaysia.

Selain itu, dia turut menambah kenyataannya dengan mengingatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya menguatkuasakan undang-undang yang melarang perkahwinan bawah umur. -Kedahnews.com