Dapat "Mumtaz" 9 Subjek, Fatehah Unggul Cemerlang STAM

Nurul Fatehah Adam
IPOH – Biarpun tidak mempunyai latar belakang pendidikan Bahasa Arab, seorang pelajar Sekolah Al-Hidayah, di sini, Nurul Fatehah Adam, 23, memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2014.

Nurul Fatehah yang bercita-cita mahu menjadi seorang pensyarah dalam bidang Syariah atau Usuluddin mencatatkan Mumtaz bagi sembilan mata pelajaran iaitu Hifz Al-Quran dan Tajwid, Fiqh, Tauhid dan Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadis dan Mustolah, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus, ‘Arudh dan Qafiyah dan Balaghah manakala Jayyid (amat baik) bagi satu mata pelajaran iaitu Insya’ dan Mutala’aah.

“Hari-hari saya buka kamus terjemahan Bahasa Melayu-Bahasa Arab untuk hafal kerana saya tidak mempunyai asas Bahasa Arab langsung.

“Saya sebelum ini mengambil jurusan kejureteraan di sebuah universiti tetapi berhenti selepas dua tahun kerana minat untuk mengambil STAM. Pada mulanya takut untuk memberitahu kedua-dua ibu bapa tetapi ini minat saya dan mereka akur dengan permintaan saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang berasal dari Kuantan, Pahang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mengambil STAM di Perak kerana tidak dapat menduduki peperiksaan STAM di Pahang kerana melebihi had umur kemasukan.

“Had umur untuk belajar di Pahang dari 18 hingga 21 tahun sahaja. Saya ambil di Sekolah Al-Hidayah kerana orang banyak kata sekolah itu merupakan sekolah terbaik,” katanya.

Sementara itu, pelajar Maahad Imtiyaz, Abdullah Az Zubair Baharuddin, 22, berkata mendapat keputusan Mumtaz dalam STAM akan mengukuhkan lagi cita-citanya untuk ke Mesir atau Jordan bagi menyambung pelajarannya dalam bidang Syariah.

“Saya telah memasang niat sejak sekian lama untuk menduduki peperiksaan STAM, dengan dorongan keluarga akhirnya saya ambil juga. Jadi hari ini masa ambil keputusan, saya sangat terkejut.

“Saya bersyukur kepada Allah, keluarga, ustaz-ustaz dan rakan-rakan yang banyak membantu untuk mencapai keputusan ini,” katanya yang sebelum ini belajar di Kolej Matrikulasi di Gopeng.

Bagi pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah, ‘Iffah Mohamad Nawawi, 19, beliau tidak menyangka mendapat keputusan Jayyid Jiddan dalam STAM kerana pada percubaan yang lepas, saya mendapat Rosib (gagal) dalam dua mata pelajaran.

“Tetapi itu bukan penghalang kerana berkat usaha yang gigih, berkongsi belajar bersama rakan-rakan merupakan satu perkara untuk apa yang saya capai pada hari ini.

“Keputusan yang saya terima pada hari ini mampu membawa saya untuk belajar ke peringkat lebih tinggi sama ada menyambung ijazah di universiti-universiti dalam negara ataupun ke luar negara seperti ke Mesir,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak Zulkurnaini Hussin mengumumkan keputusan STAM 2014 menunjukkan peningkatan sebanyak 7.32 peratus berbanding 2013.

Katanya, daripada 408 calon sekolah yang menduduki peperiksaan itu, sebanyak 242 calon iaitu 59.31 peratus mendapat sijil STAM dengan pangkat sekurang-kurangnya maqbul (lulus). – BERNAMA