Demi Masa Depan, Tanah Bumiputera Di Sarawak Akan Dibangunkan

KUCHING – Usaha sedang dijalankan untuk membangunkan tanah milik Melayu dan masyarakat Bumiputera di bandar raya dan bandar-bandar utama di negeri ini yang mempunyai potensi komersial dan untuk melindungi status pemilikan Bumiputera, kata Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kajian telah dijalankan oleh Kok International Consultant, sebuah syarikat perunding Australia, untuk mengenal pasti kawasan dan cara terbaik untuk membangunkannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Permodalan Satok Berhad (PSB), sebuah syarikat setempat yang ditubuhkan empat bulan lepas bagi membangunkan kawasan tanah milik Melayu di kawasan Satok di sini yang mempunyai potensi besar menjadi hab komersial baharu di bandar raya ini.

“Untuk membangunkan tanah seperti itu jelas memerlukan modal besar. PSB ialah laluan khas untuk projek Satok itu.

“Kami bersama-sama menggembleng sumber kami sama ada sebagai individu atau dengan bantuan kerajaan,” katanya sambil menambah projek 1.54 hektar itu akan dibangunkan untuk pembangunan hartanah melalui beberapa fasa dalam tempoh tujuh tahun.

Abang Johari berkata PSB melabur sejumlah RM400 juta dalam projek itu yang melambangkan satu lagi pembangunan ikonik di bandar raya ini.

Rakan kongsi PSB dalam projek itu termasuk Baitulmal Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Perlindungan Tanah (LCDA) Sarawak, Hikmah Sarawak dan Faradale Development Sdn.

Beliau berkata LCDA akan menjalankan kajian untuk menghasilkan pelan induk pembangunan yang teratur dan selaras di kawasan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf, Pengerusi PSB Tan Sri Abdul Aziz Datuk Husain dan wakil LCDA Datuk Mustapha Lamat.

Abang Johari berkata projek lain seumpama itu yang sedang dalam perancangan adalah Bandar Nangka Baru di Old Oya Road di Sibu dan Pekan Selirik di Kapit. – BERNAMA