Derita Kanak-Kanak Miliki Mata Tak Boleh Berkedip (Mohon Bantuan & Sebarkan..)

Sudah kehendak Allah SWT yang Maha Pencipta, semenjak dilahirkan, seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan menderita tidak dapat mengedipkan matanya dan telah disahkan menghidapi penyakit berkaitan kromosom.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pilu hati menyelami derita kanak-kanak ini.

Dilahirkan pada 2006 dan tinggal di Jertih, Terengganu, Anis Suraya Tuan Azam yang kini berusia 9 tahun tidak pernah mengedipkan mata, apatah lagi menutup matanya dan ia terbuka sepanjang masa dalam keadaan separuh seolah kelihatan seperti mengantuk.

"Matanya berbujur keluar, tetapi kelopaknya terbuka seperti mata kuyu dan kedua-dua belah mata itu merah serta selain turut menampakkan urat-urat di bahagian kedua-dua kelopak," memetik kenyataan bapanya, Tuan Azam Tuan Kechik dari Sinar Harian.

Ibubapa mana yang tidak sedih melihat penderitaan yang menimpa anak yang merupakan darah daging sendiri. 

Tuan Azam kerap membawa Anis berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan dalam ikhtiar dan harapan untuk memulihkan keadaan anaknya, selain kerap berdoa kepada Allah SWT setiap hari.

Namun begitu, sehingga kini difahamkan bahawa penyakit yang ditanggung kanak-kanak malang itu tidak dapat diubati dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan.’

"Kadangkala dia ada mengadu matanya sakit serta senak, saya tidak boleh berbuat apa-apa hanya sekadar memberinya makan ubat untuk mengurangkan rasa sakit yang ditanggung.

"Pihak hospital ada menawarkan pembedahan untuk membuka kelopak matanya dengan lebih luas, tetapi saya menolak berikutan pembedahan itu tidak dapat mengubat supaya mata Anis Suraya berkelip sebaliknya hanya meluaskan kawasan mata," jelas Tuan Azam.

Namun demikian bapa penyayang itu berkata, anaknya itu seorang yang bijak dalam pengajiannya di sekolah serta mudah mengenal dan mampu mengaji Al-Quran dengan baik.

Justeru, buat insan yang ingin membantu meringankan beban yang ditanggung Anis, Kedahnews.com merayu pihak-pihak yang diberikan rezeki yang lebih supaya bersikap prihatin dan menghubungi talian 014-5387842 bagi menyalurkan sumbangan seikhlas hati. -Kedahnews.com