PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
menggesa pihak berkuasa menyiasat Pengarah Eksekutif Lawyers for
Liberty, Eric Paulsen, ekoran kenyataannya yang mendakwa Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi fahaman ekstremis di negara
ini.
Muhyiddin ketika diminta mengulas catatan Twitter Paulsen berkaitan
perkara itu berkata perbuatan Paulsen itu perlu diberi perhatian dan
tindakan sewajarnya mesti diambil.
“Islam bukan ektremis, sejak bila pula orang kita (rakyat Malaysia)
bertindak luar biasa. Islam adalah agama yang paling sederhana,” katanya
dalam sidang media selepas melakukan tinjauan hari pertama sesi
persekolahan 2015 di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya dan Sekolah Menengah
Cyberjaya di sini hari ini.
Muhyiddin berkata dakwaan kononnya khutbah Jumaat diseleweng tidak
harus timbul kerana khutbah ialah rukun solat yang menyentuh perkara
bukan sahaja berkisar tentang konteks kehidupan Islam malah merangkumi
isu kemasyarakatan dan kemanusiaan.
“Paulsen mungkin tidak tahu langsung tentang ini atau dia tidak mendalami soal Islam,” katanya.
Paulsen mengeluarkan kenyataan menuduh Jakim menyebarkan fahaman
ekstremis pada setiap Jumaat menerusi akaun Twitternya pada 9 Jan lepas.
– BERNAMA