Dua Tokoh Pemimpin Muda Kedah Terima Gelaran Datuk

Datuk Badrol Hisham Hashim dan Datuk Norsabrina Mohd Noor. Syabas!
Dua pemimpin muda Kedah semalam diberikan penghormatan untuk menerima darjah bintang kebesaran negeri bersempena Hari Keputeraan ke-87 Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang berlangsung baru-baru ini.

Badrol Hisham Hashim serta Norsabrina Mohd Noor yang merupakan dua anak jati Kedah itu telah diperkenan untuk dikurniakan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk oleh Tuanku Sultan Kedah.

Badrol Hisham merupakan seorang anak Kuala Nerang yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut. Beliau kemudiannya diberi kepercayaan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Beliau kini bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga, serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan.

Selain itu, Badrol Hisham merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Kedah pada penggal lalu dan banyak menyuarakan rintihan rakyat yang akhirnya dapat diselesaikan dengan baik setelah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Norsabrina Mohd Noor pula merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Biologi yang pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Melaka ICT Holdings dan Perbadanan Bioteknologi Melaka sebelum dinobat sebagai ADUN Bandar Baharu pada PRU ke-13 yang lalu.

Kini, beliau turut diberi amanah oleh Mukhriz untuk memacu transformasi Kedah sebagai Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi,  serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Teknologi Maklumat  dan Teknologi Tinggi.

Walaupun dalam usia 36 tahun, ibu kepada dua orang cahaya mata itu dilihat sebagai "role model" di daerah Kulim dan kini masih lagi memegang tanggungjawab sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu.

Sebagaimana maklum, pengurniaan darjah bintang kebesaran negeri Kedah amat ketat dan pemilihan penerimanya dilakukan dengan teliti serta diberikan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja untuk menerimanya.

Namun pengiktirafan yang diberikan kepada dua orang tokoh pemimpin muda itu wajar dipandang tinggi dan cukup membanggakan bagi generasi muda di negeri Kedah.

Kedahnews.com merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas penganugerahan bintang darjah kebesaran tersebut kepada Badrul Hisham dan Norsabrina, serta kami percaya mereka akan terus menabur bakti bagi golongan muda di negeri Jelapang Padi ini. -Kedahnews.com