Edisi Khas Charlie Hebdo Hina Rasulullah Laris Di Perancis, Habis Dijual Seawal Pagi


PARIS – Tidak pasti sama ada tanda simpati atau sekadar mahu membaca, majalah mingguan satira kontroversi Perancis, Charlie Hebdo yang pertama diterbitkan selepas serangan nekad pengganas minggu lalu, hari ini habis dijual di pasaran seluruh negara.

Edisi khas itu seperti tidak pernah insaf, sekali lagi jelas menghina agama Islam apabila pada muka hadapan memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW kononnya sedih memegang sepanduk bertulis ‘Je suis Charlie’ atau bermaksud Saya ialah Charlie.

Slogan itu dipopularkan penyokong Charlie Hebdo serata dunia sebagai solidariti ke atas penerbitan itu memperjuangkan kebebasan melampau ekoran insiden berdarah meragut nyawa 10 petugas majalah itu dan dua anggota polis pada 7 Januari lalu.

Tinjauan agensi berita AFP mendapati, Charlie Hebdo edisi khas, dengan hanya lapan halaman berbanding kebiasaan 16 muka surat; laris di semua kedai akhbar sekitar Paris dan berjaya dijual habis beberapa minit selepas diletakkan di rak jualan.

Ketua pengarang baharu Charlie Hebdo, Gerard Biard, yang menggantikan Stephane Charbonnie yang maut dalam serangan itu; semalam dilaporkan berkata tiga juta naskhah untuk edisi khas dicetak daripada biasanya cuma 60,000 naskhah.

katun blur


Keluaran minggu kali ini lebih unik apabila turut dicetak dalam bahasa Inggeris, Itali, Sepanyol, Arab dan Turki, malah buat julung kali Charlie Hebdo dipasarkan ke seluruh dunia termasuk di negara-negara yang langsung tidak pernah dijual seperti India.

“Ia amat menakjubkan apabila saya lihat ramai beratur panjang di depan kedai saya dan ada lebih 70 orang sanggup berbaris sejak pukul 5 pagi. Kesemua 450 naskhah habis dibeli dalam masa 15 minit sebaik kedai dibuka pukul 6 pagi,” kata seorang penjual.

Ramai peniaga mengadu, mereka terpaksa membuat tempahan sekali lagi apabila kebanyakan pelanggan sanggup datang semula ke kedai lewat pagi semata-mata mahu membeli Charlie Hebdo yang masih dijual pada harga biasa 3 euro (RM12.60).

Di Turki, akhbar sekular terkenal, Cumhuriyet dalam proses rundingan untuk mencetak keseluruhan atau sebahagian Charlie Hebdo edisi khas itu untuk dimasukkan sebagai sisipan dan ironi dijual kepada pembaca yang majoritinya beragama Islam.

Muka hadapan keluaran khas Charlie Hebdo itu turut disiarkan kebanyakan akhbar utama di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat, namun ada media yang mengaburkan karikatur Rasulullah SAW atas alasan gambar tersebut berbaur sensitif. – Agensi