Mufti Perak, Tan Sri Harussani menegaskan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan Kerajaan pada April ini tidak haram sama sekali untuk dilaksanakan di Malaysia.
Katanya, pihak yang mengatakan GST sebagai haram itu tidak mendengar, memahami dan bagaikan mencari publisiti murahan yang cuba mencetus kontroversi serta kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.
"Tidak. GST tidak haram. Siapa kata haram?", kata Mufti Perak itu ketika dihubungi Kedahnews.com lewat petang semalam.
Baru-baru ini sebuah rakaman video tersebar secara meluas di laman-laman sosial dan aplikasi Whatsapps memaparkan ceramah perdana yang disampaikan Ustaz Fawwaz Mat Jan di surau Perwaja Steel, Gurun, yang mendakwa GST adalah haram hukum di dalam Islam.
Menurut Fawwaz yang difahamkan bertugas di Pejabat Zakat di negeri Kedah, Syeikh Nuruddin Al-Banjari yang suatu ketika dulu mengisi slot Cinta Ilmu di stesen TV Al-Hijrah telah di"gam" kerana mengatakan GST adalah haram.
Sependapat dengan pandangan Syeikh Nurruddin, dia turut mengutarakan sepotong hadis yang mafhumnya "tidak boleh ke atas mukmin itu jizyah (cukai)" untuk menguatkan pandangannya tentang GST yang dilihatnya sebagai "zalim".
Harussani bagaimanapun ketika dihubungi berpandangan tentang dakwaan tersebut timbul dari kalangan penceramah agama yang tidak mendengar penerangan terperinci mengenai GST dan gagal memahami erti sebenar cukai tersebut.
"Jika dia kata cukai haram, habis tu semua cukai di Jabatan Kastam tu semua haramlah?", kata tokoh ulama muktabar tersebut, mempersoal pandangan dangkal dari segelintir ustaz berkenaan.
Diajukan persoalan dari ceramah Ustaz Nasrun Othman yang dimuat naik ke laman Youtube pada Disember 2013 mengenai golongan ulama dan mufti yang mendiamkan diri mengenai GST sebagai haram, Mufti Perak itu menganggap tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.
Kata Harussani, fatwa tidak sewenang-wenangnya dikeluarkan di mana lebih 50 orang ulama muktabar akan duduk berbincang berasaskan kefahaman ilmu dan nusus-nusus yang berkaitan sebelum menentukan sesuatu hukum.
Mufti Perak itu menegaskan bahawa tuduhan bahawa para ulama dan mufti kerajaan berdiam diri disebabkan "politik" adalah tidak benar sama sekali dan tindakan itu lebih bersifat suka menjatuhkan orang lain.
"Inilah masalah umat Melayu Islam zaman sekarang ni, suka jatuhkan orang.. cari publisiti murahan begitu, mungkin nak cepat terkenal," katanya.
Justeru itu, ulama Perak yang disegani kawan dan lawan itu menjelaskan bahawa GST tidak haram hukumnya dan wajar dilaksanakan sebagaimana yang direncana. -Kedahnews.com