Beberapa keping gambar yang memaparkan seorang makcik sedang solat di atas landasan keretapi di salah sebuah kampung di Kelantan yang dilanda banjir baru-baru ini viral di laman sosial hingga berjaya menghasilkan ratusan ribu "like".
Walau bagaimanapun, timbul persoalan tentang siapakah pemilik asal gambar-gambar makcik tersebut memandangkan semua menyebarkan gambar yang sama.
Lebih "pelik", mereka mengaku merekalah yang merakam gambar makcik itu sedang solat di landasan keretapi dan merupakan pemilik asal gambar-gambar yang sedang hangat tersebar di laman sosial tersebut.
Menghairankan, ada pula yang sanggup "ambil credit" mengaku kononnya merekalah yang menemui makcik itu dan menyerahkan bantuan kepadanya!
Antara yang dikesan berbuat demikian adalah penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, di laman fanpagenya di mana gambar-gambar tersebut mencecah lebih dari 300,000 "like".
"Sedang kami mengagihkan barangan bantuan pada penduduk kampung, nampak kelibat seorang makcik yg berusia dlm lingkungan 60-an.
Dia solat di sebelah landasan keretapi kerana itu sajalah tempat yang agak tinggi dan tidak digenangi air serta selut. Biarpun dlm kesusahan, namun ia tidak sedikit pun menggoyahkan imannya. Ternyata ketakwaannya cukup kuat dan tak mampu digugat walau dihentam bah yg menggila! Subhanallah...
nota: landasan keretapi ini ditutup dan tidak boleh digunakan buat masa sekarang akibat kejadian banjir." -Facebook Ustaz Azhar Idrus
Tindakan Ustaz Azhar Idrus yang dikatakan menciplak gambar-gambar tersebut tanpa sebarang kredit diberikan kepada pemilik asal menimbulkan rasa geram kepada pemilik kamera yang digunakan bagi merakam gambar-gambar itu.
"Hang tengok ni.. ajaq sikit... jangan curi-curi dan tipu orang," kata pemilik kamera tersebut yang berasal dari Jeniang, Kedah, kepada Kedahnews.com sambil menunjukkan status Ustaz Azhar Idrus.
Selain Ustaz Azhar Idrus, difahamkan bahawa gambar-gambar itu juga tersebar meluas di laman sosial lain dan aplikasi Whatsapp dengan kapsyen yang seolah menggambarkan mereka memiliki hati yang suci membantu mangsa banjir.
Menurut sumber siasatan kami, gambar-gambar tersebut sebenarnya dirakam oleh seorang individu bernama Syahril A. Kadir di sebuah kawasan pedalaman di Kampung Serian berhampiran Kampung Limau Manis, Gua Musang, Kelantan, pada 3 Januari, jam 1.05 pagi.
Bagaimanapun, Ustaz Azhar Idrus hanya menyiarkan gambar berkenaan bersama kapsyennya pada 4 Januari sekitar jam 6.22 petang di laman Facebooknya.
Syahril sempat menjelaskan detik-detik sebenar ketika gambar tersebut dirakam dan menceritakan kejadian yang berlaku ketika itu.
Berikut adalah cerita dari Syahril A.Kadir, pemilik sebenar gambar-gambar tersebut yang dirakam dari sebuah kamera milik rakannya, Shuib Ghazali dari Prima Damansara yang sama-sama bertungkus-lumus sebagai sukarelawan di sana;
Oklah. Ramai yg tanya bagaimana saya boleh snap gambar makcik bersolat yang tengah viral dan dpt like beribu-ribu ni. Apapun sebelum itu, saya nak berterima kasih kepada mana-mana individu atau admin FB yang berkongsi gambar tersebut. Taknak kredit nama saya pun takpe tapi janganlah mengaku kononnya merekalah yang menemui makcik itu, menyerahkan bantuan segala...bagi saya itu tak elok. Tapi terserahlah pada budi bicara tuan/puan.
Kisahnya begini, saya dan rakan-rakan sukarelawan dari Prima Damansara, Selangor ketika itu sedang mengagihkan bantuan di sebuah kawasan pendalaman, Kg Serian yg terletak dalam Kg Limau Manis, Gua Musang, Kelantan.
Ketika itu hujan turun renyai- renyai. Tiba-tiba kami nampak makcik ini bergegas naik ke landasan keretapi yg dah ditutup sebab banjir. Kami ingat dia nak angkat kain yang dijemur mangsa-mangsa banjir di landasan itu. Kemudian kami nampak dia menghamparkan sejenis selimut, macam toto, betul-betul menghadap arah kiblat. Tak lama kemudian makcik ni terus mengangkat takbiratul ihram. Dia solat!
Saya dan kawan-kawan masih dalam kenderaan 4WD kami. Serentak itu saya terus turunkan tingkap sedikit dan snap guna hphone Samsung saya itu. Terdetik di hati saya, hebat ibu tua ini..walaupun ditimpa musibah, walaupun diuji dengan dugaan yg maha berat ini, dia tetap tidak mengabaikan suruhan yang diwajibkan ke atas dirinya dan kita semua umat-Nya.
Kami para sukarelawan mmg terkesan dgn ibadah makcik ini. Yang pasti ini bukan lakonan atau propaganda mana-mana pihak. Makcik ini sendiri tak tahu ada mata yang sedang memerhatikannya dari jauh. Alhamdulillah, Allah menggerakkan hati kami untuk menyedari yang kalau kamu beriman dan bersabar, Allah akan tempatkan kamu di kediaman lebih mulia, kediaman yg bernama Al-Jannah. InshaAllah.
“Kecuali orang sabar (terhadap ujian) dan mengerjakan amal soleh, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” – Surah Hud, ayat 11
Wallahualam.
Nota: Memplagiat atau menciplak hasil kerja orang tanpa memberikan sebarang kredit kepada pemilik asal merupakan satu tindakan yang tidak beretika. Namun tunjuk baik melakukan "pahala" sedangkan tidak berbuat demikian dan "menipu orang ramai" jawab sendirilah pada Allah SWT... -Kedahnews.com