KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) boleh mempertimbang
untuk menfailkan saman fitnah terhadap peguam Eric Paulsen yang
mengeluarkan kenyataan menimbulkan kemarahan umat Islam berhubung Islam
menerusi catatan Twitter miliknya.
Peguam kanan Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata Jakim boleh
menfailkan tindakan saman malu atau fitnah terhadap pembuat kata-kata
fitnah itu kerana telah, dalam maksud lazim dan biasa, menuduh jabatan
itu terlibat dengan aktiviti pengganas, keterlaluan dan membahayakan
toleransi antara sesama kaum.
Mohd Hafarizam yang banyak mengendalikan kes saman fitnah, berkata
bagi mendukung kesucian Islam, selain daripada pendakwaan kerana
menghasut atau menghina Islam, tindakan saman juga boleh dilakukan agar
menjadi pengajaran kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan itu.
“Semua pihak yang berkepentingan contohnya kerajaan, pembangkang,
masyarakat sivil dan rakyat perlu lebih bertanggungjawab, sensitif, peka
dan prihatin tentang isu agama.
“Undang-undang, sebagaimana canggih dan mencakupi segalanya pun,
tidak akan ada maknanya jika tidak dipatuhi,” katanya kepada Bernama
ketika ditanya mengenai tindakan individu yang menghina Islam seperti
yang dilakukan Paulse, yag juga Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty.
Paulsen membuat catatan itu dalam bahasa Inggeris pada 9 Jan lepas, dan beliau memadamnya selepas kecaman pelbagai pihak.
Paulsen kemudian ditahan di Brickfields dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
Pada 14 Jan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri
Mohmad Salleh berkata kertas siasatan berhubung kes Paulsen akan
diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara tidak lama lagi selepas dia
dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman dua hari.
Mohd Hafarizam berkata selain itu pindaan terhadap Akta Hasutan 1948
dengan memasukkan kesucian agama Islam sebagai satu daripada subjek
kecenderungan menghasut hendaklah dilakukan secepat mungkin bagi
mencegah gejala menghina agama Islam di negara ini yang semakin
menjadi-jadi.
Beliau berkata ada banyak lagi Akta-Akta yang boleh diambilkira untuk
pindaan seperti Kanun Keseksaan bagi mengelakkan pihak yang tidak
bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan sensitif terhadap agama.
“Namun, kesudahan yang ingin dicapai ialah keharmonian antara kaum
atau penganut agama dan toleransi yang mampan. Ini memerlukan
perlaksanaan strategik yang menyeluruh contohnya Parlimen, Eksekutif,
Kehakiman, Polis, ahli Akademik dan rakyat’, katanya.
Mohd Hafarizam juga menyarankan supaya kesedaran yang lebih luas dan
mendalam berkenaan ajaran Islam perlu diperhebatkan oleh Jakim dan
lain-lain agensi kerajaan berkaitan kepada semua bangsa, tidak terhad
kepada beragama sahaja.
Mohd Hafarizam menegaskan ini tidak menyalahi undang-undang kerana
Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang memberi penerangan atau
pendedahan tentang ajaran Islam.
Ketua kluster governans, perundangan dan pengurusan awam, Majlis
Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata saman itu
boleh difailkan sekiranya Jakim pasti terdapat elemen fitnah dalam
kenyataan peguam itu kepada agama Islam.
“Beliau ditahan dan disiasat di bawah Akta Hasutan. Oleh itu
kenyataan beliau mestilah yang akan membawa kebencian kepada kerajaan
atau permusuhan kaum,” katanya.
Selain itu katanya, pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 dengan
memasukkan kesucian agama Islam sebagai salah satu subjek kecenderungan
menghasut perlu dilakukan kerana tiada peruntukan khusus berhubung
penghinaan agama Islam dalamAkta Hasutan itu dan sekiranya peruntukan
itu dimasukkan ia akan memantapkan lagi akta tersebut.
“Oleh itu pindaan nanti perlu dimasukan perkara ini,” katanya.
Nik Ahmad Kamal menjelaskan bagi kesalahan menghina agama atau
mengganggu keharmonian antara agama, Akta Hasutan memperuntukkan hukuman
denda atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan manakala di
bawah Sesksyen 298A Kanun Keseksaan, ia memperuntukan hukuman penjara
dua tahun hingga lima tahun.
Beliau mengambil contoh kes pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian
Lee yang didakwa kerana mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan
mengikut Seksyen 298A yang memperuntukan hukuman yang lebih tinggi. –
BERNAMA