Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengambil
tindakan sewajarnya terhadap penganjur konsert persembahan artis K-Pop,
B1A4, berikutan perbuatan sumbang sewaktu acara hiburan itu berlangsung.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman
Mustapha berkata, perbuatan beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan
dicium oleh anggota artis K-Pop, B1A4, pada Sabtu lepas adalah sesuatu
yang sangat memalukan rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di negara
ini.
"Gadis Melayu yang terbabit dalam insiden itu dilihat terlalu obses
terhadap artis K-Pop berkenaan, perlakuan tidak senonoh di khalayak
ramai sememangnya boleh dijangka apabila penganjur konsert tidak memberi
perhatian serius mengenai kesan baik dan buruk acara hiburan itu,"
katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Isnin.
Perbuatan anggota kumpulan B1A4 mencium gadis tempatan ketika membuat
persembahan pentas KL Live pada Sabtu lepas di Jalan Sultan Ismail,
Kuala Lumpur, telah menjadi 'viral' (menjadi bahan berita popular) di
media sosial.
Video berdurasi lebih tiga minit yang memaparkan adegan cium itu
turut dimuat naik di laman Facebook Sukan Star TV yang dirakam pada
konsert tersebut.
Perbuatan sumbang itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan
Sukan Khairy Jamaluddin dan menulis dalam akaun Twitternya semalam:
"Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali
kepada lelaki tall, dark and handsome. Bukan pale, skinny and pretty.
Itu bukan lelaki sejati."
Othman berkata penganjur konsert artis K-Pop B1A4 harus
bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kerana Jakim pada 2007 telah
menerbitkan Garis Panduan Hiburan dalam Islam tetapi adakah garis
panduan berkenaan diberi perhatian oleh semua pihak termasuk penganjur
konsert dan merujuk kepada Jakim terlebih dahulu.
"Jakim tidak diberitahu mengenai penganjuran konsert ini. Sehubungan
itu, saya menyeru semua pihak, penganjur dan pihak yang meluluskan acara
hiburan memberi perhatian serius mengenai kebaikan dan keburukan dalam
penganjuran acara.
"Dalam memenuhi tuntutan agama Islam, sebarang acara yang
bertentangan dengan moral, akhlak, tatasusila dan budaya Malaysia tidak
wajar dibenarkan, tiada istilah kebebasan dan hak peribadi dalam
melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak," katanya. -mStar