Lokasi mangsa diselamatkan ketika berenang di Sungai Segan |
BINTULU – Dia bukan saja terpaksa menahan lapar selama tiga hari,
malah turut menderita kesejukan terperangkap dalam hutan akibat hujan
lebat dan banjir selepas dilaporkan hilang ketika memancing bersama
rakan di Sungai Segan, di sini, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, mangsa Christina Senie David, 14, dari rumah panjang
Nyaing, di sini, menyelamatkan diri apabila terdengar bunyi bot melalui
kawasan sungai berkenaan sebelum mempertaruhkan nyawa berenang untuk
mendapatkan bantuan.
Secara kebetulan, bot itu pula dinaiki anggota dari Balai Bomba Dan
Penyelamat Bintulu yang dalam misi menghantar bekalan makanan dan
keperluan mangsa banjir di Rumah Panjang Giri, di sini.
Sumber berkata, ketika diselamatkan pasukan bomba kira-kira jam 9
pagi, mangsa dalam keadaan lemah akibat kelaparan, selain menggigil
kesejukan.
Menurutnya, Christina dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ketika
memancing bersama tiga rakannya menaiki perahu di sungai itu, namun
mereka terpisah akibat hujan lebat dan air pasang besar ketika turun ke
kawasan hutan berhampiran. – myMetro