Gaji Minimum RM900: Masih Ramai Majikan Gagal Tunai Di Kedah?


Alor Setar - Meskipun pihak kerajaan telah menguatkuasakan perlaksanaan gaji minimum sektor swasta dengan gaji asas sebanyak RM900, masih lagi terdapat beberapa syarikat yang tidak mematuhi peraturan tersebut.

Menurut tinjauan Kedahnews.com di negeri Kedah, masih lagi terdapat majikan gagal melaksanakan peraturan itu dengan meneruskan gaji pekerja mereka serendah RM450 hingga RM700 sebulan.

Misalnya, seorang pengawal keselamatan yang ditemui kami mendedahkan bahawa dia dan rakan-rakan sekerjanya masih menerima gaji asas RM450 sebulan berbanding rakan mereka di syarikat lain yang sudah dinaikkan gaji sejak tahun lalu.

"Gaji kami tak naik pun, dok takat tu jugak. RM450 sebulan tak naik. Kawan-kawan kami di syarikat lain semua dah naik dah tahun lepas," katanya yang mengeluh.

Menurut sumber yang enggan didedahkan namanya itu, pihak pekerja telah berkali-kali bertanya secara baik kepada pihak majikan mengenai status gaji mereka itu, namun jawapan yang diterima agak mengecewakan.

Mungkin khuatir diberhentikan atau ditamatkan khidmat, sumber berkenaan memberitahu mereka terpaksa menunggu dan berharap agar sinar tahun baharu 2015 akan membuahkan rezeki bagi kehidupan mereka serta keluarga.

"Kos sara hidup sekarang ni makin tinggi.. anak nak sekolah, perbelanjaan dapur, bil dan keperluan lain makin meningkat. Macam mana kami nak hidup dengan gaji RM450 di zaman sekarang ni?

"Kami tak salahkan kerajaan. PM dah umum gaji minimum pada tahun 2012, sekarang ni dah 2015, tapi majikan kami masih tak naikkan gaji kami..," keluhnya lagi kepada Kedahnews.com.

Pada 30 April 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kadar gaji minimum bagi sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam bagi mengimbangi kos sara hidup di kalangan rakyat di Malaysia. -Kedahnews.com