Gambar mesra Izreen dan Nazrief yang dimuat naik ke laman Instagram milik pelakon itu baru-baru ini menimbulkan pertanyaan peminat mengenai status hubungan mereka. |
PETALING JAYA – Pelakon Izreen Azminda menyangkal dakwaan kononnya
dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon baharu, Nazrief
Nazri selepas dia memuat naik gambar bersama aktor itu di laman
Instagramnya baru-baru ini.
Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 30, berkata, gambar
berkenaan tidak membawa sebarang maksud dan ia diambil sekadar
suka-suka selain menganggap Nazrief sebagai adik.
“Tidak mungkin saya bercinta dengan Nazrief kerana menganggap dia
seperti adik sendiri dan gambar itu diambil oleh salah seorang teman
kami semasa keluar makan.
“Dia seorang yang baik dan mempunyai masa depan yang cerah sebagai
pelakon jika dia benar-benar fokus terhadap kerjayanya,” katanya kepada
mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Izreen memberitahu dia menganggap Nazrief sebagai adik.
Gosip diantara kedua-dua pelakon itu timbul selepas mereka memuat
naik gambar masing-masing dengan gaya berbeza di Instagram sehingga
menimbulkan pertanyaan pengikut di laman sosial itu.
Dalam pada itu, Izreen mengakui berasa rimas kerana sering menjadi
tohmahan apabila dikaitkan dengan lelaki yang berlakon disampingnya atau
pun menerusi gambar yang dimuatnaik ke Instagram.
Izreen memberitahu dia menganggap Nazrief sebagai adik. |
Dia berharap masyarakat terutamanya pengikut di laman sosial berhenti
daripada meninggalkan komen berbaur spekulasi dan telahan kerana dia
kini tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki.
“Sebelum ini saya boleh terima lagi jika ada orang cuba mengaitkan
saya dengan mana-mana lelaki tetapi semakin lama ia membuatkan saya
berasa rimas… jadi hentikanlah,” katanya.
Sementara itu, Izreen berkata, dia tidak berhasrat untuk mencari
pengganti selepas mengalami kegagalan rumah tangga bersama bekas suami,
Muhammad Riza pada Jun tahun lalu.
Dia juga tidak terburu-buru dalam soal itu kerana tumpuannya kini
adalah kepada kerjaya dan anak tunggalnya, Muhammad Adrian Umar yang
kini berusia 18 bulan.
“Tidak mungkin saya akan bercinta dalam masa terdekat ini kerana
kehidupan selepas bercerai baru sahaja stabil dan biarlah saya fokus
kepada kerjaya dan anak terlebih dahulu.
“Tambahan pula pengalaman dan kesilapan lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam memilih pasangan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Izreen kini sedang menjalani penggambaran
sebuah drama bersiri berjudul Pergilah Air Mata bersama aktor Kamal Adli
untuk siaran RTM.
Selain itu, dia juga sudah bergelar pengacara program Mahligai Cinta
yang bersiaran setiap hari Khamis pada pukul 11 pagi di TV3.
“Saya sangat teruja dapat mengacarakan program tersebut kerana ia
memberi satu dimensi baharu kepada kerjaya saya dan setakat ini saya
selesa bergelar hos,” katanya. – mStar