Gara-Gara "Selfie" Dengan Musuh Negara, Ratu Lubnan Dikecam


Hanya kerana sekeping gambar selfie di pertandingan Miss Universe, Ratu Cantik Lubnan menjadi buah mulut ramai malah dikecam kerana dianggap sengaja berkompromi dengan musuh negara.

Itu yang menimpa Saly Greige apabila gambarnya bersama Ratu Cantik Israel, Doron Malaton tersebar di Internet, sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati oleh sebilangan penduduk Lubnan.

Sampai satu tahap, ada pihak yang menggesa gelaran ratu cantik yang dimahkotakan kepada gadis tersebut ditarik balik!

Sebagai imbasan, kejadian sama pernah berlaku pada tahun 1993 apabila Ratu Lubnan dilihat mesra dengan Ratu Cantik dari Israel, lantas gelarannya ditarik balik.

Dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, Greige berkata, foto tersebut diambil secara mengejut setelah Malaton muncul secara tiba-tiba ketika dia sedang bergambar dengan ratu cantik dari Jepun dan Slovenia.

Ceritanya, “Sejak hari pertama lagi, saya sangat berhati-hati dan mengelak untuk bergambar malah berkomunikasi dengan Ratu Cantik Israel (dia telah mencuba beberapa kali untuk bergambar dengan saya sebelum itu).

--sally-greige-en-guzel-kadin-secildi

“Ketika saya sedang bergambar dengan Ratu Cantik Jepun dan Slovenia, secara tiba-tiba Ratu Cantik Israel muncul mengambil selfie dan terus memuat naiknya di media sosial.

“Ini merupakan cerita sebenar yang berlaku, dan saya mengharapkan sokongan dari kalian terhadap saya dalam pertandingan ini.”

Sementara itu, Malaton yang memberi reaksi terhadap kenyataan tersebut berkata, dia kesal dengan situasi yang berlaku.

“Ia tidak mengejutkan saya, namun saya berasa sedih. Kamu tidak mampu untuk mengetepikan persengketaan dalam mencari pengalaman berharga selama tiga minggu.”

Secara teknikalnya, Lubnan dan Israel masih lagi berperang walaupun keadaan sudah stabil di sempadan kedua-dua negara.