KUCHING – Kerajaan Sarawak tidak sepatutnya dianggap menyekat
kemasukan orang semenanjung ke negeri ini, kata Menteri Perumahan Negeri,
Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Persepsi seperti itu tidak betul dan berniat jahat, katanya ketika
berucap pada mesyuarat pertama tahun ini bagi semua jabatan dan agensi
kerajaan di Sarawak yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan
Multimedia.
Abang Johari dilantik pada tahun lepas untuk menerajui jawatankuasa penyelaras bagi semua jabatan dan agensi berkenaan.
“Kami hanya menyekat kemasukan personaliti tertentu yang diketahui memiliki pandangan perkauman dan keagamaan melampau.
“Kerajaan negeri bertanggungjawab memelihara perpaduan dan hubungan
dalam kalangan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang
kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menguatkuasakan hak
autonomi imigresennya bagi tujuan itu dan ia merupakan keputusan bersama
semua anggota kabinet negeri ini.
“Sudah tentu kami mengalu-alukan kedatangan semua rakyat Malaysia
yang bersikap sederhana ke negeri ini. Tapi, kami akan menggunakan hak
kami terhadap mereka yang datang hanya untuk mengganggu kami,” katanya.
Mengenai perasaan tidak puas hati sesetengah pemimpin Parti Rakyat
Bersatu Sarawak (SUPP) tentang kehadiran beliau pada persidangan tiga
tahun sekali pertama Parti Rakyat Bersatu (UPP) pada 11 Jan di sini,
Abang Johari berkata ia tidak sepatutnya menjadi isu.
“Saya menghadirinya sebagai seorang menteri kanan yang berkecuali dan bukan mewakili Barisan Nasional (BN) negeri.
“Presiden UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh, adalah seorang menteri
negeri. Lagi pun, UPP dan Teras (Parti Tenaga Rakyat Sarawak) telah
membayangkan bahawa mereka berdiri teguh di belakang BN. Kami ingin
pastikan kedua-dua parti itu kekal sebagai parti mesra BN,” katanya.
Abang Johari, yang juga timbalan presiden Pesaka Bumiputera Bersatu
(PBB), parti tulang belakang BN di negeri ini, berkata SUPP, UPP, SPDP
(Parti Demokratik Progresif Sarawak) dan Teras perlu mencari
penyelesaian secara baik bagi menyelesaikan masalah masing-masing.
“(Ketua Menteri Tan Sri) Adenan (Satem), sebagai ketua BN negeri,
mempunyai kata putus siapa yang patut mewakili atau terus mewakili BN
pada pilihan raya negeri akan datang, yang boleh diadakan pada bila-bila
masa mulai sekarang hingga 20 Jun, 2016,” katanya. – BERNAMA