ALOR SETAR – Kedah bercadang untuk membaik pulih prasarana di Bazar
Melayu Empire yang berusia 30 tahun dan terletak di tengah-tengah bandar
raya ini untuk dijadikan sebagai satu daripada produk pelancongan
terbaharu.
Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan
dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata,
sebanyak RM100,000 diperuntukkan kerajaan negeri untuk membangunkan
semula bazar tersebut.
Beliau berkata keadaan di kawasan itu yang tidak selesa, usang,
kebocoran saluran air serta longkang yang tidak diselenggara dengan
baik, merupakan punca pengunjung tidak lagi datang ke bazar itu.
Katanya perbincangan dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan
dibuat dalam tempoh terdekat bagi membolehkan proses mengindahkan bazar
tersebut dilakukan dengan segera.
“Ada 24 lot kedai di bazar itu yang menjual pelbagai jenis barangan
dan ia sama seperti bazar di Masjid India dan Jalan Petaling di Kuala
Lumpur,” kata Badrul Hisham pada sidang media ketika melakukan lawatan
di bazar tersebut hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Usahawan Melayu Kedah Tamrin Abd
Karim berkata bazar itu tidak diselenggara dengan baik sejak 15 tahun
lepas menyebabkan kekurangan pengunjung.
Beliau berkata keadaan itu agak menyedihkan apabila bazar yang
popular sebelum ini semakin tidak terurus menyebabkan peniaga tidak
dapat menjana keuntungan seperti sebelum ini.
“Syukurlah sebab dah lama minta pihak bertanggungjawab naik taraf
bazar ini. Hari ini Exco dengar rintihan kami dan beliau turun padang
beri harapan yang tinggi kepada peniaga bazar di sini,” katanya. –
BERNAMA