Histeria Dalam Panggung Bukan Gimik Villa Nabila

SUSULAN video viral kejadian histeria sewaktu tayangan filem Villa Nabila di sebuah panggung di AEON Tebrau, Johor Bahru beberapa hari lalu, pemilik produksi Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam menafikan ia ada kaitan dengan gimik bagi melariskan filem tersebut.

Menerusi Sinar Harian, beliau memberitahu turut terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian berkenaan oleh anaknya yang juga pengarah filem itu, Syafiq Yusof.

“Sejujurnya produksi kami tidak pernah terlibat dalam kerja gimik murahan begitu. Ia berlaku di luar pengetahuan kami. Saya bertanya kepada Syafiq dan dia menafikan.

“Kemungkinan besar, penonton terlalu fobia dengan filem itu dan emosinya terbawa-bawa. Malah, sebelum ini isteri saya turut menjerit ketika menontonnya namun tidaklah sampai terkena histeria,” katanya.


Pada masa sama, Yusof memberitahu Villa Nabila sudah berjaya mencatat kutipan sebanyak RM350,000 dalam tempoh dua hari tayangannya di seluruh Malaysia, Brunei serta Singapura dan menjangkakan pertambahan hingga ke RM500,000.

Wah kalau beginilah gayanya, tak mustahil filem garapan Syafiq itu akan mencatat rekod antara kutipan filem tertinggi, sama seperti pernah dilakukan oleh bapa dan abangnya, Shamsul Yusof menerusi filem-filem arahan mereka sebelum ini.

Apapun, nasihat kami, kalau ada penonton yang jenis penakut terlampau, baik beli DVD dan tonton di rumah dalam keadaan lampu terang-benderang.

Nanti tak pasal-pasal bertambah pula kes histeria dalam panggung!


Sumber: Mynewshub.cc