Seorang penyelam dilaporkan telah berjaya menemui sebuah hutan prasejarah yang berusia
kira-kira 10,000 tahun di Laut Utara ketika menyelam di pesisir pantai
Norfolk di sini baru-baru ini.
Penyelam tersebut, Dawn Watson, 45, berkata, dia tidak menyangka
keputusannya untuk menyelam lebih jauh di pesisir pantai itu berjaya
membongkar kewujudan sebuah hutan zaman prasejarah yang belum pernah
ditemui.
“Air di pesisir pantai pada waktu itu agak bergelombang, jadi saya
memutuskan untuk berenang 300 meter ke tengah laut sebelum menjumpai
batang pokok oak purba.
“Pengalaman ini sangat menakjubkan kerana saya telah melakukan
aktiviti menyelam selama 16 tahun dan bukan setiap hari anda akan
membuat penemuan bersejarah seperti ini,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan hutan di dasar laut itu, Watson memberitahu bahawa apa yang dilihatnya itu adalah seakan adegan dalam filem
Hobbit atau Lord of the Rings.
Menurut pakar perhutanan, hutan yang ditemui itu dianggarkan wujud sejak Zaman Ais tetapi telah tenggelam apabila paras air laut meningkat setinggi 120 meter apabila ketulan ais cair.
Kini, pokok-pokok itu membentuk terumbu karang semula jadi dan
menjadi sebahagian daripada hidupan marin bersama ikan serta tumbuhan
laut lain. – Kedahnews.com