Import Jurulatih Jepun Asah Bakat Muda

Takuya Inoue
SINGAPURA – Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) pada Rabu mengumumkan bahawa salah seorang jurulatih dari Jepun, Takuya Inoue mengesahkan bakal menyertai Akademi Bolasepak Kebangsaan (NFA) di republik tersebut.

Kontrak dengan akademi elit milik FAS itu adalah bagi tempoh selama setahun dan akan dimeterai dalam masa terdekat, namun akhbar-akhbar tempatan pada Khamis pula melaporkan ikatan tersebut sudah bermula secara rasmi 14 Januari.

Takuya sebelum ini adalah penolong jurulatih pasukan Omiya Ardijia dari Liga Bolasepak Profesional Jepun atau J.League serta memiliki pengalaman luas dalam melatih ramai pemain remaja Jepun pada peringkat umur 12, 14, 15 dan 18 tahun.

Di negara Matahari Terbit itu, Inoue yang kini berusia 47 tahun pernah melatih kelab United Ichihara Chiba dan Brummel Sendai malah menjadi pilihan banyak pasukan kerana beliau mempunyai lesen kelas A dari Persatuan Bola Sepak Jepun.

Latar belakang pendidikan Inoue juga amat cemerlang kerana beliau pernah melanjutkan pengajian peringkat tinggi di Universiti Sukan Jerman di Cologne serta Kolej Pendidikan Jasmani Jepun di Universiti Sains Sukan dan Kesihatan Osaka.

FAS dalam kenyataan media berkata, tugas besar beliau di NFA ialah menyiapkan pasukan kebangsaan bawah 18 tahun untuk menghadapi beberapa kejohanan peringkat serantau dan kontrak beliau boleh diperbaharui jika prestasi baik.

Salah satu matlamat utama Inoue ialah untuk mengenal pasti pemain muda yang berpotensi mengembangkan lagi bakat di luar negara kerana remaja Singapura sebaik berumur 18 tahun wajib menyertai Khidmat Negara selama dua tahun. – Agensi