Individu Rakam Zamani Menyanyi Sambil Bergari Bakal Terima Padah

Boleh dikatakan bukan lagi rahsia mengenai bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani bersama seorang wanita yang telah ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah baru-baru ini.

Berita menggemparkan industri hiburan tanahair itu agak "viral" di laman-laman internet sehingga membuat pihak tertentu yang bertindak melampau memuat naik sebuah video memaparkan Zamani diminta menyanyi lagu "Gerimis Mengundang" ketika dalam tahanan dalam keadaan bergari di sebuah balai polis.

Ekoran itu, orang ramai khususnya peminat penyanyi tersebut tidak bersetuju dengan tindakan individu yang membuat dan memuatnaik rakaman itu tanpa mempedulikan aib dan maruah Zamani yang ketika itu dalam keadaan tersebut.

Malah, susulan dari protes tersebut, para pengguna twitter memperkenalkan hashtag #BantahTindakanPolisKpdZamani sebagai tanda bantahan kepada tindakan memuatnaik rakaman berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya hari ini berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak atau individu yang bertanggungjawab membuat rakaman itu.

"@PDRMsia akan siasat dan ambil tindakan tegas terhadap orang yang merakam dan muat naik video Zamani nyanyi semasa bergari,” katanya yang dipetik dari Twitter hari ini.


Zamani yang popular sekitar tahun 90-an dilapor telah ditahan tengah malam Rabu bersama seorang wanita berusia 32 tahun di rumahnya di Taman Keramat kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Hasil siasatan polis, Zamani didapati positif dadah jenis heroin. -Kedahnews.com