Ini Caranya Nak Ajar Sikap Biadab Di Laman Sosial

Sekiranya dilarang dan dihapuskan sama sekali penggunaan Facebook dan dikawal sepenuhnya laman-laman sosial, ramai yang "mengamuk" serta menganggap tindakan tersebut sebagai tidak wajar dilakukan.

Penulis setuju dengan pandangan itu. "Marahkan nyamuk, jangan pula dibakar kelambunya", bukan?

Namun tidak dapat dinafikan bahawa di medan itulah juga terdapat pelbagai "onar" dan "api" yang mampu menyebabkan kemarahan orang ramai, masyarakat, saudara-mara, pihak berkuasa, ahli-ahli politik mahupun pakcik tukang kebun di sekolah.

Masakan tidak? Boleh dikatakan setiap hari, minggu, bulan dan tahun, kita rakyat Malaysia akan tersentuh sensitiviti sama ada disentuh mengenai agama atau dicuit mengenai isu perkauman di negara kita.

Ketika Malaysia belum di zaman siber, semua itu sangat jarang berlaku. Namun kini, bukan saja melibatkan orang dewasa, budak-budak sekolah pun mula menunjukkan sikap kurang ajar, biadab dan tidak beradab sopan serta mampu mencetus kemarahan orang ramai.


Kecoh baru-baru ini mengenai Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen, seorang lelaki berbangsa Cina yang sibuk menyentuh dan mempersoal tentang agama Islam di Malaysia, khususnya di laman Twitter.

Difahamkan dia kini berada di dalam tahanan reman setelah ditahan semalam dan berkemungkinan reman tersebut akan berakhir hari ini. Sehingga tindakan susulan, dia akan "bebas" buat sementara waktu.

Biarlah. Kes berkenaan kini berada di dalam siasatan polis di bawah Akta Hasutan 1948 yang sibuk mahu dimansuhkan oleh sebilangan pihak yang dilihat seolah "menyokong penghasut" mencetus kekecohan di negara kita.

Paling baru, seorang budak Cina yang hanya dikenali dengan "nama Facebook"nya, Zi Wong Liang Derek, yang selamba menghina bangsa lain dan menganggap bangsanya sahaja yang berjaya di Malaysia.

Menggelar bangsa Melayu sebagai "anjing" di laman sosial itu, budak Cina berkenaan turut berlaku biadab mahu menukar nama "Malaysia" supaya menjadi "New South China". 

Difahamkan, perangai biadab dan "tidak sedar diri" budak berkenaan telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai, khususnya bangsa Melayu yang mengecam teruk tindakan Derek berkenaan.

Nampaknya, Eric sudah ada "junior" sekarang dan mungkin Derek bukan merupakan "junior tunggal" yang mengikuti jejak langkah "boss" Laywer For Liberty itu, kan?

Penulis percaya, ramai lagi yang masih berkeliaran di luar sana sedang menyusun ayat dan kata bagi menimbulkan kemarahan sekaligus mencacatkan keharmonian kaum serta persefahaman agama di kalangan "bangsa Malaysia".

Apapun, penulis ingin berpesan kepada mereka yang marah dan "menyinga" dengan kenyataan biadab golongan bajingan seperti itu dengan melakukan perkara-perkara yang melanggar batas Islam atau undang-undang negara. 

Kita bangsa Melayu sewajarnya mengekalkan akhlak yang dianjurkan Islam, menahan sabar dan bertindak mengikut saluran yang dibenarkan agama serta undang-undang negara.

Mungkin dengarnya reaksi itu seolah "pasif", "mandom", "penakut" atau "tak best". Namun percayalah, itulah yang membezakan akhlak di antara umat Islam dan golongan jahiliyyah di zaman Rasulullah SAW.

Kita cintakan Rasulullah SAW, bukan? Jadi, ikutlah saranan sunnahnya... -Amir Hamzah/Utaranews.com