TIDAK SENSITIF. Mungkin itulah yang boleh digambarkan apabila melihat
gambar sebuah projek hartanah mewah dalam pembinaan langsung memaparkan
tulisan bahasa Mandarin macam di Hong Kong pada banting gergasi
setinggi lapan tingkat ini.
Gambar itu yang turut disebarkan menerusi laman sosial mencetuskan
perasaan kurang senang ramai pihak malah ada menyifatkan projek dikenali
sebagai BM City itu sengaja memperlekeh martabat bahasa Melayu sebagai
Bahasa kebangsaan.
Paling memalukan kita, projek dibangunkan BM City Realty &
Construction Sdn. Bhd. yang terletak di Bandar Perda, Bukit Mertajam,
Pulau Pinang itu lebih kurang 1 kilometer tidak jauh dari kompleks
Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Timbul persoalan adakah pihak berkuasa tempatan itu tidak peka dengan
tindakan pemaju sengaja guna tulisan Cina pada banting iklan projek
tersebut yang mempromosikan kompleks hartanah itu bakal memiliki skrin
LED terbesar di Malaysia.
Walhal jika mengikut undang-undang kecil kerajaan tempatan di seluruh
negara, semua iklan dipasang pada bangunan komersial wajib memakai
bahasa Melayu dan jika mahu diselitkan bahasa asing, saiz tulisannya
perlu dibuat lebih kecil sedikit.
Sekali lagi timbul pertanyaan, mana penguatkuasaan tegas MPSP padahal
kerajaan negeri pimpinan DAP sering melaung-laungkan slogan ‘Cekap,
Akauntabiliti, Telus – CAT’ dalam urusan pentadbiran mereka yang sudah
memasuki penggal kedua.
Lebih pelik, strategi pemasaran banting berbahasa Mandarin itu jelas
cuma difahami kaum Cina sedangkan Bandar Perda dibangunkan Lembaga
Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di bawah Kementerian Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah.
Kawasan perbandaran baharu itu dihuni majoriti Melayu bersempadan
Kampung Rawa dan Permatang Batu yang turut menempatkan Ibu Pejabat Polis
Daerah Seberang Perai Tengah, Politeknik Seberang Perai, Hospital KPJ
dan banyak lagi.
Laman web pemaju projek itu www.bmcity.com.my malah hanya guna bahasa
Inggeris serta menjelaskan projek tersebut mengandungi tiga blok
apartmen 23 tingkat dengan 528 unit dikelilingi 40 unit kedai pejabat
dua tingkat dan 1,450 petak parkir.
(Video promosi BM City yang memaparkan projek hartanah itu bakal dilengkapi skrin LED terbesar di Malaysia)
Sumber: Mynewshub.cc