Pelancaran model terbaru Honda CR-V |
SHAH ALAM – Honda Malaysia hari ini melancarkan kenderaan CR-V baru
dalam tiga varian termasuk kenderaan dua pacuan roda (2WD) dengan enjin
2.0 liter yang dijangka merangkumi lebih daripada 50 peratus jualan.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro
Ueno, berkata Honda menyasarkan untuk menjual 700 unit model 2WD dan
menjangkakan bakinya daripada varian 2.0 liter 4WD dan 2.4 liter 4WD.
"Kami memperkenalkan varian 2.0 liter berdasarkan maklum balas
pasaran.
"Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) itu telah mencatatkan pertumbuhan
yang signifikan sejak beberapa tahun lepas dan para pembeli telah
berkembang daripada golongan keluarga yang menjadi pembeli
tradisionalnya kepada individu dewasa," Ueno berkata kepada pemberita
selepas majlis pelancaran kenderaan itu di sini hari ini.
CR-V baru, dengan harga di atas jualan antara RM139,800 dan RM169,800
boleh didapati dalam lima warna — logam metalik, putih tafeta, biru
metalik, perak metalik dan hitam kristal.
“Honda juga menawarkan empat pakej aksesori yang bermula daripada RM2,650 yang mengabungkan penambahbaikan dalaman dan luaran.
“Semua varian datang standard dengan butang penukaran mod ECON untuk meningkatan kecekapan bahan api,” katanya.
Sementara itu, Ueno berkata Honda mahu meningkatkan perkongsian
pasaran kepada lebih 12 peratus tahun ini dengan sasaran jualan sebanyak
85,000 unit.
“Kami jual 77,485 unit dalam 2014, menjadikan Honda sebagai jenama
kereta terkemuka dalam segmen kereta penumpang bukan kebangsaan,”
katanya. – BERNAMA