Insiden Charlie Hebdo: Malaysia Juga Perlu Berjaga-jaga

Baru-baru ini Pemimpin Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) difahamkan telah memberikan arahan kepada para pengikutnya di seluruh dunia untuk melancarkan perang suci di negara masing-masing.

Perkembangan berhubung pengisytiharan arahan itu turut menyebabkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan berjaga-jaga dan meningkatkan tahap keselamatan dalam negara.

Pemimpin ISIS, Abu Bakr Al-Baghdadi dalam arahan tersebut berpesan kepada penyokongnya, selain menyertai perjuangan mereka di Timur Tengah, mereka juga perlu melaksanakan tugas itu di negara mereka sendiri.

Pengumumannya itu tersebar secara meluas di internet.

Memetik laporan media sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Jumaat lalu mengingatkan bahawa serangan mirip yang berlaku di majalah satira Perancis Charlie Hebdo juga tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia.

Menurut beliau, Malaysia perlu meningkatkan langkah keselamatan khususnya di kawasan pantai Sabah yang sebelum ini pernah diceroboh oleh kumpulan militan dari selatan Filipina.

Selain itu, pihak berkuasa tidak menolak dan turut membayangkan tentang kumpulan pelampau agama di Malaysia yang juga boleh menyebabkan insiden di Paris berulang di sini.

“Jika mereka berasa Islam dalam ancaman di Malaysia atau mereka rasa kepercayaan mereka diancam, individu-individu ini mungkin menggunakan kekerasan dan radikal untuk mempertahankan Islam.

“Ia tidak mengambil masa lama untuk individu fanatik bersenjatakan parang untuk mengamuk di kawasan pinggir bandar yang sibuk,” katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu lepas turut memberi amaran bahawa kejadian serangan di Charlie Hebdo itu sebagai sebab kukuh mengapa Akta Hasutan 1948 harus dikekalkan.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada insiden tersebut kerana ia menunjukkan akta itu perlu bagi mengelakkan serangan seperti itu berlaku di Malaysia. -Kedahnews.com