Insiden Tetak Antara Kaum Ditegaskan PALSU


Pihak berkuasa pada hari ini menafikan khabar angin yang tersebar meluas baru-baru ini menerusi aplikasi WhatsApp kononnya berlaku insiden tetakan antara kaum di Pandan Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad dalam kenyataannya menegaskan bahawa tiada sebarang kejadian seumpama itu berlaku dan pihaknya tidak menerima apa-apa laporan berhubung kejadian tersebut.

"Keadaan di sekitar Pandan Jaya aman dan terkawal. 

"Kehidupan masyarakat berjalan seperti biasa dan orang awam tidak perlu bimbang untuk keluar menjalankan aktiviti harian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan maklumat tidak berasas yang semakin galak tersebar secara meluas menerusi aplikasi berkenaan mahupun di laman-laman sosial.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi dan menyebar maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. 

"Bagi sebarang maklumat, sila rujuk pihak berkuasa" tegasnya berhubung maklumat palsu yang mencetus kebimbangan di sekitar kawasan berkenaan baru-baru ini. -Kedahnews.com