Isu Berebut Gary Steven Robbat: FAM Bincang 16 Januari Ini #HijauKuning #PulunKedahPulun

Isu perebutan membabitkan tiga pasukan bagi mendapatkan khidmat pemain tengah Harimau Malaya, Gary Steven Robbat bakal terlerai menerusi mesyuarat khas di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 16 Jan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM Datuk Takiyuddin Hassan berkata pihaknya perlu memberi keutamaan kepada kes lain yang lebih penting sebelum membincangkan kes melibatkan bekas pemain Harimau Muda A itu.

“Semua pihak yang terlibat dalam isu ini akan dipanggil (pada mesyuarat khas berkenaan),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan barangan kepada negeri Pantai Timur yang terjejas banjir di Wisma FAM, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Gary yang kini menjalani latihan bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Australia, menimbulkan kontroversi apabila namanya didaftarkan oleh Pahang, Kedah dan JDT sebaik sahaja pendaftaran pemain ditutup, 5 Dis lepas.

Pemain berasal dari Kulim, Kedah itu muncul pada majlis memperkenal pemain JDT bagi musim 2015 pada 29 Dis lepas, namun statusnya masih menjadi tanda tanya.

Ini berikutan syarat FAM yang menetapkan pemain yang dilepaskan oleh Harimau Muda A dan berusia melebihi 23 tahun, wajib kembali berkhidmat bersama negeri kelahiran masing-masing sekurang-kurangnya setahun sebelum boleh beraksi bersama pasukan lain. – BERNAMA