Isu Kalimah "Allah" BeluM Berakhir, Gereja Katolik Heret Kembali Ke Mahkamah


Tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam mahupun perlembagaan negara yang menetapkan supaya hak keistimewaan Islam tidak dicabar di Malaysia, Gereja Katolik tetap berdegil mahu mengheret semula isu penggunaan kalimah "Allah" ke mahkamah.

Memetik laporan sebuah portal pro-pembangkang, Malaysian Insider, pihak gereja Kristian itu terus cuba mendapatkan hak menggunakan kalimah "Allah" di dalam akhbar mingguan, The Herald, atas alasan sebilangan pemohon dibenarkan melakukan semakan selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Difahamkan bahawa peguam, Datuk Dr Cyrus Das, akan mengetuai pihak gereja esok dan menyatakan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan pada Jun diputuskan berdasarkan isu yang tidak dibangkitkan oleh mana-mana pihak. 

Datuk Dr Cyrus Das (dua dari kanan)
Pada Jun tahun lalu, Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria menolak permohonan gereja Katolik untuk merayu berdasarkan kiraan majoriti bagi mendapatkan hak penggunaan kalimah "Allah" di akhbar berkenaan.

Manakala Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Apandi Ali pada 14 Oktober 2013 sebelum itu yang mengetuai panel penghakiman berkata halangan penggunaan kalimah Allah bagi mengelak penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam di Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa keselamatan negara dan ketenteraman awam boleh terancam sekiranya penerbit Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

"Kami mendapati kalimah Allah bukan sebahagian daripada agama dan amalan Kristian," katanya dalam penghakiman tersebut.

Usaha gereja Katolik untuk mendapatkan hak penggunaan kalimah "Allah" di akhbar The Herald sebelum ini mencetus kemarahan majoriti umat Islam di seluruh negara termasuk NGO-NGO Islam yang bertindak mengadakan demonstrasi aman membantah permohonan tersebut.

Bagaimanapun, desas-desus mengatakan bahawa isu mendakwa isu berkenaan sengaja dipanjangkan pihak gereja Katolik bagi mencetus sentimen isu tersebut pada Pilihanraya Umum Negeri Sarawak yang dijangka berlangsung pada tahun 2016.

Juga dikatakan bahawa isu di Semenanjung Malaysia itu akan dibawa oleh pihak tertentu ke dua negeri, Sabah dan Sarawak, sebagai isu utama mencetus budaya membenci kerajaan dan meraih undi bagi menewaskan kerajaan Barisan Nasional di sana.

Bagaimanapun, kesahihan strategi berkenaan belum dapat dibuktikan dan dikatakan hanya berlegar secara tersembunyi di kalangan rakyat di sana, khususnya yang beragama Kristian. -Kedahnews.com