Isu Kalimah "Allah": Gereja Katolik Terima Tamparan Hebat, Permohonan Ditolak Mahkamah

Ketua Paderi Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok. - Gambar Hiasan
Gereja Katolik hari ini menerima tamparan hebat apabila Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan untuk menolak permohonan mereka supaya prosiding pendengaran permohonan semakannya didengar di hadapan panel hakim lebih ramai iaitu sembilan orang.

Tan Sri Abdul Hamid Embong yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan gereja bagi menyemak keputusan terdahulu tidak membenarkan rayuan dibuat berhubung larangan penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan mingguan berbahasa Melayu, The Herald.

Beliau bersidang bersama Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed, menurut laporan media di ibu negara hari ini.

Prosiding kali ini merupakan langkah terakhir bagi Gereja Katolik cuba mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, yang mengisytiharkan perintah Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah "Allah" adalah tidak mengikut undang-undang.

Bagaimanapun pada 14 Oktober 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 31 Disember 2009.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun lalu yang menolak permohonan gereja untuk mendapatkan kebenaran merayu berikutan keputusan majoriti 4-3 panel tujuh hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Gereja Roman Katolik, yang ketika itu dipimpin Ketua Paderi Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2009 dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Gereja itu antara lain menuntut perisytiharan bahawa keputusan kementerian itu melarang kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah bercanggah dengan undang-undang. -Kedahnews.com