Isu Peluk, Taksub Artis: Cara Islam Lebih Mujarab


Meminati artis bukan sesuatu yang salah bahkan ada nilai-nilai murni yang boleh dijadikan contoh jika seseorang artis itu mempamerkan sikap yang baik.

Namun, apa yang salah apabila perasaan minat mula bertukar menjadi taksub yang melampau sehingga membawa kepada perkara-perkara di luar norma masyarakat.

Misalnya, insiden beberapa anak gadis Melayu bertudung yang berperangai tidak senonoh pada konsert kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, B1A4, baru-baru ini yang turut mengundang kecaman dan kemarahan rakyat Malaysia.

Tindakan remaja perempuan yang merelakan diri dipeluk dan dicium anggota kumpulan itu di hadapan ribuan manusia, seolah-olah sudah tiada lagi maruah seorang perempuan untuk dipertahankan.

Adegan peluk dan cium artis kegilaan masing-masing merupakan perkara biasa di luar negara, namun dalam konteks masyarakat di negara ini, perlakuan tersebut sukar diterima lebih-lebih lagi telah jelas menyalahi hukum syarak.

Apabila timbul isu sebegini, sudah pasti ibu bapa menjadi individu terawal yang dikatakan gagal mendidik anak-anak, walhal ramai tidak sedar banyak faktor yang mendorong kejadian itu berlaku.

Keinginan yang membuak-buak dapat bertemu dengan artis kesayangan setelah berhabis banyak wang membeli tiket konsert, ditambah lagi dengan trend masa kini yang berbangga jika dapat memuat naik gambar bersama artis diminati di laman sosial, menyebabkan larangan serta didikan ibu bapa, dilupakan begitu sahaja.

Jelas, faktor perlakuan itu bukan berpunca ketempangan satu pihak sahaja, malah perlu dilihat daripada segenap sudut terutamanya peranan penguatkuasaan, pendakwah, pemimpin dan ibu bapa serta pihak media juga, yang dilihat kurang berkesan dalam membentuk keperibadian generasi masa kini.

Mengulas tentang insiden itu, Integrated Muslimah Associations and Networks Alliance (IMAANA) beranggapan, peristiwa berkenaan perlu dijadikan satu kejutan kecemasan (wake up call) kepada masyarakat tentang tahap keseriusan gejala sosial dan kerendahan akhlak yang sedang mengancam masa depan generasi pelapis negara ini.

Adalah tidak memadai untuk umat Islam negara ini hanya sekadar bertindak mengecam mereka yang terlibat, menuding jari dan melepaskan geram di laman-laman sosial semata-mata, dengan mengharapkan perubahan berlaku dengan mudah dan sekelip mata.

Justeru, Pengerusi IMAANA, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, menggesa semua pihak menilai dengan rasional petanda-petanda daripada gejala sebegitu bagi mengenal pasti tahap permasalahan yang sedang dihadapi.

Katanya, pendekatan mencegah lebih baik daripada merawat harus diambil agar dapat menutup semua ruang berlakunya maksiat dan gejala tidak sihat dalam kalangan masyarakat sebelum menjadi lebih parah.

Dalam ruang lingkup itu, langkah pertama harus bermula daripada pemimpin di semua peringkat dengan memberi keutamaan kepada usaha menangani gejala sosial secara serius dan berterusan.

Selain itu katanya, tanggungjawab itu perlu dilaksana secara bersepadu dan bukan diletakkan pada institusi agama semata-mata.

“Seharusnya semua polisi dan dasar pembangunan melibatkan rakyat dibentuk sejajar dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini yang berteraskan agama Islam tanpa menindas kaum lain mengamalkan agama mereka.

“Sebarang polisi yang menyumbang kepada terhakisnya nilai dan moral serta boleh memberi pengaruh negatif kepada anak-anak remaja serta yang dilarang oleh semua ajaran agama perlu dibendung dan dikawal,” katanya.

Menurut Che Asmah, peranan pihak penganjur sesuatu program juga tidak boleh dinafikan agar mereka tidak sekadar melihat daripada sudut meraih keuntungan sahaja, tetapi secara menyeluruh agar impak sesuatu program yang diadakan dapat memberi manfaat dan kesejahteraan kepada semua pihak.

Kawalan dan penguatkuasaan ke atas program-program hiburan yang dibenarkan perlu lebih ketat, selain perlu memastikan pihak penganjur sebarang acara terbuka perlu sensitif dengan agama dan budaya setempat sama ada melibatkan artis tempatan mahupun luar negara.

“Misalnya, acara-acara yang melibatkan penyertaan wanita dan penglibatan penonton wanita melakukan lakonan di atas pentas perlu mematuhi garis panduan tertentu,” jelasnya.

Dalam mendekati jiwa remaja, Che Asmah berpendapat, pendekatan konsep kasih sayang dilihat paling berkesan dan mudah dilaksanakan dengan hanya bermula dari rumah, hubungan ibu bapa dan anak-anak perlu dimantapkan dan disemarakkan.

Tidak cukup dengan mengambil tahu keberadaan dan aktiviti anak-anak, ibu bapa perlu meraikan kehendak berhibur anak-anak muda ini.

Namun mereka perlu diberi panduan untuk memilih hiburan yang sihat sekali gus menjaga batas-batas susila dan akhlak Islam.

“Hubungan yang rapat penuh kasih sayang dan cinta tanpa syarat daripada ibu bapa kepada anak remaja perlu dizahirkan bukan hanya diucapkan.

“Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan dakwah juga perlu memperbanyakkan aktiviti alternatif yang sihat, mendidik dan kreatif dalam mendekati remaja serta menyantuni mereka dengan pendekatan kasih sayang, bukannya menghukum semata-mata.

“Beri peluang kepada golongan itu memperbaiki kesalahan mereka terdahulu,” katanya.

Kata Che Asmah, langkah yang paling mudah membantu anak-anak muda ini adalah dengan memberi kefahaman yang jelas tentang konsep hijab yang tidak hanya terletak pada pemakaian yang patuh pada syariat semata-mata.

Sebaliknya, pemakaian hijab merupakan asas kepada penjagaan batas pergaulan lelaki dan perempuan dalam erti kata ‘malu’ yang sebenarnya.

“Tudung tanpa sifat malu tidak melengkapkan konsep hijab. Ini hanya merupakan fesyen yang membaluti tubuh tanpa isi dan kefahaman jitu kerana sifat malu yang tertanam akan dapat mengawal batas dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya,” jelas beliau. -Utusan