Jabatan Agama Islam Kedah Sedia Pertimbang Rayuan Pusat Tahfiz


ALOR SETAR - Jaik sedia mempertimbangkan semula rayuan pendaftaran PTA dekat Jalan Yan- Kuala Kedah.

Pengarahnya, Datuk Noh Dahya berkata, perkara itu bagi membolehkan PTA beroperasi sebagai sekolah agama sah.

“Kita sedia mempertimbangkan semula rayuan pendaftaran mereka, tetapi sehingga kini tidak ada sebarang rayuan diterima.

“Kita arah henti operasi bukan kerana marah, tetapi kerana mereka menggunakan kanak-kanak bagi tujuan jualan amal pada waktu tidak sepatutnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Jaik sedia meluluskan rayuan itu sekiranya PTA bersetuju memansuhkan silibus perniagaan sebagai subjek teras di sekolah tersebut dan menggunakan silibus yang dibenarkan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, PTA dijangka menghantar notis rayuan pendaftarannya kepada Jaik pada April tahun lalu.

Menurut laporan itu, Pengetuanya, Muslim Ab Karim berkata, notis rayuan mengenai perkara itu akan dihantar selepas mendapat persetujuan dan nasihat daripada beberapa peguam.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba mempercepatkan proses rayuan itu supaya pelajar berkenaan dapat meneruskan sesi pengajian seperti biasa. -Sinar Harian