Jakarta Bandaraya Paling TIDAK Selamat Di Dunia - The Economist

Jakarta
JAKARTA – Ketika Presiden Indonesia, Joko Widodo "gembira" menyambut pemerintahan beliau yang baharu berusia 100 hari pada hari ini, ibu kota negara terbesar rantau Asia tenggara itu mendapat berita buruk yang boleh dianggap paling ‘memalukan’ tahun ini.

Majalah berpengaruh antarabangsa, The Economist juga hari ini telah menerbitkan artikel terkini menamakan Jakarta sebagai bandar paling tidak selamat di dunia dalam senarai 50 kota terbesar menerusi Indeks Bandar Raya Selamat 2015.

Kedudukan itu dikatakan adalah hasil penyelidikan Unit Perisikan The Economist (EIU) melibatkan 40 petunjuk kualitatif dan kuantitatif mengikut pebagai tema antaranya tahap keselamatan digital, kesihatan, prasarana awam dan persepsi penduduk.

Difahamkan bahawa indikator penilaian itu juga meliputi kos perbelanjaan masyarakat dalam isu keselamatan dan kadar kemalangan jalan raya selain usaha pihak berkuasa tempatan mengurus bajet secara kreatif bagi mewujudkan suasana persekitaran bandar selamat.

Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama dilaporkan terkejut dengan laporan The Economist, namun secara profesional mengakui bandaraya yang dihuni lebih 10 juta orang itu belum lagi ideal selamat untuk didiami walaupun oleh penduduk asalnya sendiri.

“Justeru, kami rancang memasang lagi 2,500 unit CCTV (kamera litar tertutup) sepanjang tahun ini khasnya di lokasi ‘panas’, bahkan laporan polis menunjukkan 213 daripada 100,000 warga Jakarta jadi mangsa penjenayah tahun 2014,” katanya yang dipetik dari sumber negara jiran.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu negara Jepun, Tokyo muncul sebagai bandar paling selamat di dunia dan diikuti rapat oleh Singapura.

Namun tiada bandar dari Malaysia yang tersenarai di dalam majalah tersebut, manakala ibu kota ASEAN lain cuma melibatkan kotaraya Bangkok di dalam indeks senarai pada kedudukan ke-39. -Kedahnews.com

10 Bandar Raya Paling Selamat:

1. Tokyo, Jepun
2. Singapura
3. Osaka, Jepun
4. Stockholm, Sweden
5. Amsterdam, Belanda
6. Sydney, Australia
7. Zurich, Switzerland
8. Toronto, Kanada
9. Melbourne, Australia
10. New York, Amerika Syarikat

10 Bandar Raya Paling Tidak Selamat:

41. Istanbul, Turki
42. Delhi, India
43. Moscow, Rusia
44. Mumbai, India
45. Mexico City, Mexico
46. Riyadh, Arab Saudi
47. Johannesburg, Afrika Selatan
48. Ho Chi Minh City, Vietnam
49. Teheran, Iran
50. Jakarta, Indonesia
 – Agensi