Jamal Abdillah Sedia Bawa Zamani Ke Pusat Pemulihan "Rahsia"


Raja Pop, Jamal Abdillah sekiranya diberi peluang menegaskan bahawa beliau sedia membantu Zamani menghadapi rawatan pemulihan dadah di pusat pemulihan "rahsia" yang tertutup bagi mengelak rasa kurang selesa bekas vokalis itu.

Sebagai seorang biduan yang pernah terlibat dengan penggunaan najis dadah, pelakon filem Azura itu atau nama sebenarnya, Datuk Jamal Ubaidillah Ali sentiasa terbuka untuk dihubungi Zamani pada bila-bila masa untuk tujuan berkenaan.

"Zamani boleh hubungi atau berjumpa saya pada bila-bila masa, saya akan kenalkan dia dengan tempat tertentu yang agak tertutup daripada pengetahuan ramai untuk pemulihan (ketagihan dadah)", kata Jamal dalam satu kenyataan hari ini.

Jamal juga yang pernah mengalami derita yang serupa menjelaskan bahawa kemungkinan besar Zamani akan rasa kurang selesa sekiranya dia mendapat rawatan pemulihan dadah tertentu yang mungkin bakal menarik perhatian ramai.

Nama Zamani kembali hangat diperkata apabila dilapor telah ditahan polis akibat penyalahgunaan dadah dan tersebarnya rakaman video yang memaparkan dia menyanyi lagu "Gerimis Mengundang" dalam keadaan bergari di sebuah balai polis.

Ekoran rakaman tersebut, empat anggota polis telah digantung tugas setelah video berkenaan mendapat reaksi negatif dari ramai peminat yang menyifatkan ia sebgai tidak wajar dan memalukan penyanyi bersuara emas itu.

Sementara itu, Jamal pula turut pernah dilaporkan mengalami masalah yang serupa namun telah pulih sepenuhnya setelah mendapat rawatan dari pusat pemulihan yang tidak dapat dikenal pasti.

Alhamdulillah. Begitulah rakan-rakan artis di Malaysia yang prihatin dengan masalah yang dihadapi sesama mereka dan saling bantu membantu bagi mengatasi suatu musibah. Tahniah dari kami. -Kedahnews.com