"Jangan Main Api Dengan Islam" -Kartunis Ujang


Tokoh kartunis terkenal negara, Ujang, memberi amaran kepada pihak-pihak yang cuba menghina Islam supaya tidak cuba "bermain dengan api".

Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon ketika diminta mengulas mengenai insiden serangan tembakan di pejabat media satirikal, Charlie Hebdo di Paris, semalam.

“Ini warning (amaran) jelas kepada kartunis sendiri. Perkara ini bukan baru berlaku namun sudah lama disedari dan tidak harus diambil remeh.
 
“Jangan ‘main api’ dengan perkara agama, apa yang berlaku di Paris itu harus dijadikan teladan,” katanya lagi yang dipetik menerusi Astro Awani.

Menurut Ujang, banyak isu lain yang boleh diketengahkan antaranya kartun berbentuk humor sosial dan kemasyarakatan tanpa menyelitkan sebarang unsur agama yang disifatkan sebagai sensitif untuk mana-mana agama dan negara di seluruh dunia.

“Banyak isu lain yang boleh dibuat selain agama, mereka (kartunis) boleh melukis dan berjenaka mengenai kehidupan sehari-hari, budaya masyarakat dan pelbagai lagi dengan syarat tidak melanggar adab dan batas,” katanya.

Dalam serangan yang menggegarkan kota Paris itu, seramai 12 orang terbunuh termasuk pengarang majalah itu, Stephane Charbonnier, dan pemegang saham majalah tersebut, Bernard Maris, yang dikatakan sangat berpengaruh dan "melindungi" kepentingan majalah tersebut di Perancis.

Secara umum, Charlie Hebdo dengan edaran 45,000 naskhah bebas hina mana-mana pihak tanpa rasa bersalah kerana ia didukung ramai personaliti ternama Perancis dan lebih pelik, tiada tindakan dikenakan ke atas mereka oleh pihak berkuasa negara tersebut.

Sasaran utama mereka ialah agama Islam dan ramai lihat kecenderungan majalah Perancis itu mempermainkan Nabi Muhammad SAW sebenarnya memang didalangi Barat bagi membangkitkan kemarahan umat Islam sekali gus melabel Islam sebagai pengganas.

Hakikatnya kematian Charbonnier, Maris dan sembilan lagi kartunis biadap Charlie Hebdo berjaya menjadi ‘modal’ pihak Barat untuk mengalih perhatian masyarakat selama ini daripada isu penghinaan majalah pelampau itu ke atas agama Islam.

Pihak polis Perancis kini memperketatkan kawalan bagi menjejaki dua dalang serangan itu yang dipercayai dua beradik, Said Kouachi, 34, dan adiknya, Cherif Kouachi, 32. -Kedahnews.com