CEMBURU dan marah adalah dua perasaan yang berada di dalam hati
setiap manusia. Apa yang menjadi isu ialah bagaimana cara kita
menghadapi dan mengatasi perasaan negatif yang terbit dalam hati
manusia.
Memang menjadi fitrah dalam hidup manusia menghadapi kedua-dua
perasaan ini, iaitu sama ada orang berasa cemburu dan marah dengan kita
ataupun kita yang berasa cemburu dan marah terhadap orang lain.
Tetamu segmen Usrati minggu ini, Ustaz Muhammad Fahmi Mohamed Amin
menjelaskan perasaan cemburu ini timbul daripada rasa cinta atau rindu
seseorang itu kepada orang lain.
Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak mempunyai rasa cinta,
perkataan cemburu langsung tidak timbul dalam dirinya. Begitu juga
dengan pernikahan di antara suami dan isteri, tidak akan wujud
kebahagiaan dalam kehidupan mereka sekiranya tidak wujud rasa cinta dan
sayang antara kedua-duanya.
Takut harta diambil orang
Ustaz Muhammad Fahmi mengibaratkan seseorang yang cemburu itu
adalah seperti orang yang mempunyai harta dan berasa takut hartanya
diambil orang.
Oleh sebab itu harta itu akan dijaga dengan baik supaya sentiasa
selamat berada dalam genggamannya. Begitulah juga dengan seseorang yang
berasa cemburu terhadap orang lain yang mungkin akan merampas haknya,
sama ada pasangan, harta, masa dan sebagainya.
Perasaan cemburu bermula daripada perasaan bimbang di dalam hati
seseorang terhadap haknya yang berkemungkinan besar tidak tertunai.
Perasaan cemburu di dalam hati juga adalah salah satu cara Allah
SWT mendidik hamba-Nya mengingati bahawa setiap nikmat yang dikurniakan
di dunia ini adalah sementara sahaja dan bila-bila masa sahaja Allah
berhak untuk mengambilnya semula.
Kebiasaannya apabila perasaan cemburu timbul di dalam hati, kita
cenderung untuk menyalahkan orang lain atau persekitaran berbanding
melihat dan muhasabah diri sendiri.
Jaga aurat isteri
Sebagai contoh, seorang suami yang sayang kepada isterinya tidak
sepatutnya membiarkan isterinya itu memakai pakaian tidak menutup aurat
dan bergaul bebas tanpa batasan.
Mana mungkin harta yang disayangi, yang ditakuti diambil orang
dibiarkan tanpa pengawalan di tepi jalan. Sudah pasti harta itu akan
diambil orang atau sekurang-kurangnya diawasi oleh banyak mata yang
melihat. Begitulah juga halnya dengan seorang isteri yang disayangi
tidak patut dibiarkan bebas tanpa pengawasan. Keadaan ini akan
mengundang kepada timbulnya perasaan cemburu.
Setiap manusia, lelaki atau wanita akan ada rasa cemburu di dalam hati mereka, bahkan juga isteri kepada Rasulullah SAW.
Diriwayatkan oleh Anas dari Sahih Bukhari, dalam satu kisah pernah
sekali ketika giliran Rasulullah SAW bersama Aisyah, isteri Baginda yang
lain bernama Zainab menghantar makanan kepada Baginda melalui seorang
khadam.
Namun, Aisyah berasa sedikit terganggu kerana pada ketika itu
adalah gilirannya dengan Rasulullah. Lantas Aisyah menolak makanan yang
dihantar lalu jatuh dan pinggan yang digunakan untuk membawa makanan itu
pecah.
Rasulullah sedikit pun tidak menunjukkan rasa marah, malah Baginda
sendiri mengutip serpihan pinggan yang pecah dan memberitahu kepada
khadam untuk makan makanan yang dibawa itu. Kemudian Baginda
menggantikan pinggan yang pecah itu dengan pinggan baru.
Cemburu berlebihan jadi musibah
Perasaan cemburu di dalam hati manusia adalah fitrah, namun cemburu
yang berlebihan dan tidak berasas boleh mendatangkan musibah.
Sabda Nabi SAW bermaksud:
"Rasa cemburu ada yang disukai Allah dan ada pula yang tidak disukai-Nya. Kecemburuan yang disukai Allah adalah yang disertai alasan yang benar. Sedangkan yang dibenci ialah yang tidak disertai alasan yang benar (cemburu buta)." (Riwayat Abu Daud).
Perasaan cemburu yang dibenci Allah SWT adalah cemburu yang
berlebihan atau cemburu buta dan membawa kepada tohmahan, iaitu
menyebabkan keraguan dan buruk sangka hingga akhirnya membawa kepada
hasad dengki.
Cemburu buta boleh mendatangkan kesan besar dalam kehidupan
seseorang yang akhirnya boleh memutuskan hubungan suami isteri,
kekeluargaan, persahabatan dan juga mengakibatkan kes jenayah.
Kisah Imam Sibawaih boleh dijadikan teladan. Beliau seorang yang
sangat mencintai ilmu dan menghabiskan masa menulis kitab hingga
akhirnya menimbulkan rasa cemburu di dalam hati isterinya dengan
merasakan dirinya tidak dipedulikan.
Pada suatu hari isterinya membakar kitab sedang diusahakan beliau.
Namun Imam Sibawaih tidak berasa marah, malah menulis semula kitab itu
sehingga menjadi lima jilid dan menjadi rujukan sehingga kini.
Perasaan cemburu yang berlaku disebabkan dunia adalah sia-sia
kerana dunia itu sendiri adalah sementara seperti firman Allah SWT di
dalam Surah at-Taubah, ayat 24 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik (derhaka)."
*Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMFM/BH Online