Jerung Spesis Purba 80 Juta Tahun Ditemui Masih Hidup

Frilled Shark
Sekumpulan nelayan di Lakes Entrance di Victoria, Australia terkejut apabila salah seekor ikan aneh yang berjaya ditangkap merupakan salah satu spesis ikan jerung prasejarah.

Jerung spesis Frilled Shark merupakan spesis jerung yang dikenal pasti wujud sejak 80 juta tahun lalu oleh para penyelidik.

Kelihatan menyerupai seekor belut, ia berukuran kira-kira dua meter panjang dan difahamkan telah ditangkap pada kedalaman 700 meter di bawah paras laut.

Laporan Mail Online menjelaskan bahawa jerung itu memiliki kira-kira 300 gigi dan sangat jarang ditemui pada kedalaman kurang daripada 1,200 meter di bawah paras laut.

Nelayan Terkejut Temui Spesis Jerung Prasejarah Masih Hidup

Menurut Ketua Eksekutif Persatuan Perikanan Tunda Tenggara (SETFA), Simon Boag, insiden itu merupakan kali pertama spesis jerung berkenaan ditangkap dalam keadaan masih hidup.

Walau bagaimanapun, jerung purba yang menggemparkan tersebut dilaporkan sudah pun dijual oleh para nelayan terbabit. -Kedahnews.com