PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertindak sekiranya
terdapat penulisan yang didapati boleh mencetuskan suasana tidak baik
kepada masyarakat dan negara, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Beliau berkata KDN akan berada di barisan hadapan untuk memastikan suasana sedemikian tidak terjadi.
“Jadi, apabila kita bergerak mengambil tindakan, jangan pula kita
dituduh zalim kerana kita menegakkan peraturan supaya tidak berlaku
huru-hara dalam negara…itu tugas KDN dan agensi di bawahnya,” katanya
ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu pada perhimpunan bulanan
kementeriannya di sini, hari ini.
Beliau berkata penulisan berbentuk tohmahan dan fitnah sengaja
ditulis bagi menimbulkan suasana tidak harmoni dan perkara itu
sememangnya diinginkan oleh pihak tertentu, apatah lagi ia melibatkan
KDN.
“Mereka yang bertugas di KDN akan membaca dan melihat dengan teliti
setiap perkataan yang ditulis dan akan bertindak sekiranya berita atau
penulisan itu boleh mencetuskan suasana tidak baik kepada masyarakat dan
negara,” katanya.
“Kita tidak mahu negara ini menjadi porak-peranda dan kita mahu
sebelum keadaan itu berlaku KDN berada di barisan hadapan untuk
menentukan perkara itu tidak terjadi,” katanya lagi.
Ahmad Zahid menasihatkan warga KDN agar cekal dan tidak perlu gentar
dalam melaksanakan tugas mengekalkan keamanan dan keharmonian walaupun
sering difitnah dan digambarkan secara negatif melalui penulisan
tertentu.
Beliau berkata dalam era dunia tanpa sempadan, kakitangan di
kementerian dan agensi perlu sedar bahawa budaya memutarbelit menjadi
kelaziman manakala penulisan menuduh dan memburukkan orang lain bagaikan
satu keseronokan pihak berkenaan.
“Tidak semua orang senang dengan kerja kita, tidak semua orang merasa
terbela dengan tugas kita dan kerapkali tugas kita ditulis hanya
perkara yang tidak baik.
“Maka ingatlah kritikan dan tohmahan adalah makanan dan hidangan
kita, namun KDN perlu tetap berada di barisan hadapan memastikan
keamanan dan keharmonian negara terus terjaga,” katanya.
Beliau berkata tulisan menuduh kakitangan KDN menyokong dan mengambil
sesuatu daripada individu tertentu mungkin diterbitkan atas dokongan
‘kumpulan-kumpulan’ sebegitu bagi mengalih perhatian ke atas tindakan
yang sedang diambil pihak berkuasa kementerian. – BERNAMA