Juri Jelaskan Sebab "Apa Khabar" Menang AJL Ke-29

Datuk Mokhzani Ismail
Biasalah, adat pertandingan, pasti akan ada yang menang dan yang kalah. Menjadi adat juga, ‘bila rumah sudah siap, pahat berbunyi’!

Ada sesetengah pihak seakan tidak berpuas hati dengan kemenangan yang diraih lagu ‘Apa Khabar’ ciptaan SonaOne dan lirik yang ditulis Joe Flizzow, apatah lagi ia membawa genre hip hop yang masih ‘hijau’ dalam industri seni suara Malaysia.

Namun, salah seorang juri, Datuk Mokhzani Ismail mempunyai asas dan jawapan kukuh kenapa lagu tersebut menjadi pilihan dan dijulang sebagai juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu ke-29 yang berlangsung Ahad lalu.

tumblr_static_tumblr_static_18t3hyyy3lq848wcgcsowwwk_1280

Dalam tulisannya di laman Facebook sendiri, Mokhzani berkata...

”Pemilihan lagu Apa Khabar sebagai juara amat tepat kerana ia mempunyai ciri-ciri bertaraf antarabangsa selain condong kepada bentuk lagu aliran terkini yng cukup kreatif dari segi melodi yang bersahaja.

Malah tagline lagu itu yang senang kita ingat iaitu ‘Aku Tanya Apa Khabar’. Keseluruhan melodinya juga mesra. Kalau dikupas liriknya satu persatu dapat dilihat dengan lebih maksud yang Joe Flizzow rapkan.

Ia bukan sekadar rap biasa yang tidak ketahuan biji butir tapi ia punya isi dan kekuatan. Lagu ini melarikan terus aliran lagu ala-la percintaan dan bentuk yang stereotype.”


Ujar beliau lagi, pemilihan lagu terbaik dapat ditentukan melalui kreativiti melodi dan kupasan lirik dalam penyampaiannya dan beliau menyimpulkan, kualiti tetap menjadi perkara pokok dalam menentukan juara.

“Muzik Malaysia ini kalau boleh kita mahu ke pasaran antarabangsa. Kalau tak dia hanya berlegar-legar dari Perlis ke Sabah saja.”

Beliau turut mengakui, sebelum ini, lagu dalam kategori balada banyak mendominasi pertandingan tersebut kerana ia mesra halwa telinga, namun melodinya tidak banyak berubah.

“Yang balada ini kalau ia boleh melarikan dari kebiasaan, baru akan nampak kelainan. Bukan tak bagus, kualitinya ada tapi banyak sangat lagu sedemikian di pasaran. Malah kalau dipanggil juri luar negara pun pasti mereka melihat dari persepsi yang sama.”

Dalam penulisan sama, beliau turut berkata, sudah sampai masanya industri hiburan mengubah aliran dan menerima sesuatu yang luar dari kebiasaan.

Sebelum ini, lagu Apa Khabar turut diangkat sebagai Lagu Terbaik Hip Hop di Anugerah Industri Muzik yang berlangung hujung tahun lalu.

Ramai sedia maklum, lagu itu cukup personal kepada pelantunnya, Joe Flizzow kerana ia ditujukan khas buat rakan duetnya dalam Too Phat iaitu Malique.