BERIKUT ADALAH KENYATAAN OLEH PIHAK PPIM
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan agar
dikeluarkan panduan dan langkah-langkah yang boleh digunakan oleh orang
ramai untuk melupuskan naskah-naskah Al-Quran atau buku-buku agama yang
telah rosak akibat bencana banjir.
Ini berikutan pengalaman para sukarelawan PPIM dalam misi bantuan
banjir baru-baru ini yang menjumpai sejumlah besar naskah Al-Quran yang
telah musnah dan diselaputi lumpur serta tidak boleh digunakan lagi.
Antara cadangan lain juga, agar naskah Al-Quran dan buku-buku agama
itu dikumpul dan dihantar ke masjid atau surau-surau yang berhampiran,
supaya dapat dilupuskan mengikut tatacara yang betul oleh pihak yang
bertanggungjawab.
Kepada pihak-pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai perkara
ini seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama
Islam Negeri-Negeri / Daerah, PPIM memohon kerjasama semua untuk
mewarwarkan semula prosedur yang boleh digunapakai oleh orang awam untuk
melaksanakan garis panduan pelupusan naskah Al-Quran dan buku-buku
agama dengan cara yang betul.
Kami juga berharap agar orang ramai dapat mematuhi adab-adab umum di
dalam menguruskan Al-Quran seperti yang disyariatkan oleh agama Islam. -PPIM