BESUT – Tragedi yang berlaku malam kelmarin, menjadi igauan buruk seumur hidup bagi seorang bapa, Rusli Ibrahim, 47.
Apa tidaknya, insiden yang berlaku pada jam 10.15 malam itu
mengakibatkan dia kehilangan anak kesayangan, Ruslina Puteri Batrisyia,
2, yang menjadi mangsa korban kereta dipandunya sendiri.
Lebih menyayat hati apabila mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri
di bahagian belakang kereta selepas dilanggar kereta jenis Mercedes
yang dipandunya.
Kejadian berlaku di Taman Perumahan Fatimah Al Zahra, Tok Dor, di
sini, ketika Rusli cuba mengalih kereta yang diletak di luar pagar
rumah.
“Ketika saya mengundurkan kereta untuk dialihkan ke dalam garaj
hadapan rumah, tiba-tiba kereta seperti terlanggar sesuatu. Masa itu
kereta baru sahaja bergerak.
“Saya bergegas keluar dan mendapati anak saya terlantar di situ.
Hanya ALLAH yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu melihat dia
sudah tidak sedarkan diri… saya tidak sedar dia berada di situ,” katanya
yang bekerja sebagai kontraktor.
Rusli bersama isteri dibantu jiran kemudian membawa mangsa ke
Hospital Besut untuk rawatan, namun sebaik tiba doktor mengesahkan
anaknya sudah meninggal dunia.
Menurutnya, kejadian itu sangat memilukan memandangkan mangsa yang
merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu sangat manja dengannya.
“Arwah antara anak yang paling rapat dengan saya, malah dia tidur pun
dengan saya. Sudah tentu kemalangan ini meninggalkan kesan mendalam
kepada saya buat selama-lamanya,” katanya.
Kata Rusli, sebelum kejadian, ketika dia menuju ke kereta tersebut, anaknya itu berada bersama isterinya di muka pintu rumah.
Namun tanpa disedari isterinya, mangsa dikatakan pergi ke belakang kereta tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah
mengesahkan kejadian dan menurutnya polis sedang menjalankan siasatan
lanjut.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Bapa mangsa telah diambil keterangan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya. – Sinar Harian